Tarif 19%: Kejayaan rundingan pasukan PMX kekal daya saing positif negara
- Suara Keadilan

- Aug 1
- 1 min read
Updated: Aug 2

Oleh: Akmal Manaf
Penghargaan harus diberikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dan pasukan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) atas kejayaan merundingkan penurunan kadar tarif Amerika Syarikat (AS) daripada 25% kepada 19% khusus untuk Malaysia.
Hal itu dinyatakan oleh Pengarah Strategi KEADILAN Malaysia, Sim Tze Tzin yang menyifatkan kadar tersebut bukanlah rendah, tetapi tidak setinggi 25% seperti diumumkan sebelum ini.
Katanya, PM Anwar pastinya telah menggunakan kehebatannya dalam perbualan telefon pagi semalam untuk mencapai perjanjian ini.
''Signifikannya, Malaysia akan mengekalkan kelebihan daya saing kita dalam kalangan negara ASEAN.

''Ini kerana kebanyakan negara utama ASEAN menerima kadar tarif yang hampir sama.
''Apabila semua negara berada pada kadar yang sama, Malaysia akan mendapat manfaat kerana asas-asas kita seperti kedaulatan undang-undang, kestabilan politik, infrastruktur dan tenaga kerja yang berpendidikan akan menonjol.
''Kesannya, apabila para pelabur ingin melabur di ASEAN, Malaysia akan terus dianggap sebagai destinasi pilihan mereka berdasarkan asas-asas kukuh itu,'' kata Ahli Parlimen Bayan Baru itu dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk rekod, sebelum ini Presiden AS, Donald Trump menetapkan kadar tarif barangan import dari Malaysia adalah sebanyak 25%.
Bagaimanapun, angka itu berubah kepada 19% susulan arahan eksekutif terbaharu yang ditandatangani Trump semalam.
Dokumen pelarasan lanjut kadar tarif timbal balas yang ditandatangani Trump bertarikh 31 Julai 2025 itu sudah dimuat naik di laman sesawang Rumah Putih.
Untuk perbandingan, Brunei dikenakan tarif sebanyak 25%; Laos dan Myanmar masing-masing 40%; manakala Malaysia, Cambodia, Indonesia, Thailand dan Filipina dikenakan kadar 19%, sementara Vietnam pula pada kadar 20%.









Comments