top of page

Tapak Hospital PJ dikemuka, proses pengambilan tanah dilaksana - MB

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 22 hours ago
  • 1 min read

Kerajaan Selangor akan mengemukakan cadangan tapak yang telah dikenal pasti bagi pembinaan Hospital Petaling Jaya (PJ) kepada Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum proses pengambilan tanah dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.


Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata cadangan tapak itu dipersetujui dalam Perbincangan Penyelarasan Cadangan Tapak Hospital Petaling Jaya yang dipengerusikannya hari ini bersama KKM, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) serta agensi berkaitan.


"Susulan itu, proses pengambilalihan tapak akan dilaksanakan mengikut tatacara dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa bagi membolehkan projek pembinaan hospital awam berkenaan diteruskan.


"Ini merupakan satu perkembangan penting hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Selangor, KKM, MBPJ serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan keperluan kesihatan rakyat terus menjadi keutamaan," katanya dalam hantaran di Facebook.


Amirudin berkata pertumbuhan pesat penduduk di daerah Petaling menyebabkan kewujudan hospital awam baharu amat diperlukan bagi meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan berkualiti, mengurangkan kesesakan di hospital-hospital sedia ada serta memenuhi keperluan rakyat untuk jangka panjang.


Beliau berkata Kerajaan Negeri komited untuk terus memudah cara segala urusan di bawah bidang kuasa negeri bagi memastikan projek itu dapat direalisasikan secepat mungkin menerusi kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan.


Sebelum ini, Kerajaan Selangor memaklumkan satu tapak di Taman Medan telah dikenal pasti sebagai lokasi yang sesuai untuk pembinaan Hospital Petaling Jaya.


Hospital awam baharu itu dicadangkan bagi menampung peningkatan jumlah penduduk di daerah Petaling serta mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan sedia ada seperti Hospital Sungai Buloh, Hospital Shah Alam dan Hospital Serdang.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page