top of page

Tapak hospital awam Petaling Jaya: Kerajaan Negeri sambut baik persetujuan KKM

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 14 hours ago
  • 2 min read

Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik pemakluman oleh Menteri Kesihatan (KKM), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berhubung persetujuan lokasi tapak yang dicadangkan bagi pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya (PJ) yang dijadikan bahan politik parti pembangkang baru baru ini.


Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata keputusan tersebut adalah hasil mesyuarat penyelarasan terkini pada 14 Mei lalu yang melibatkan agensi Persekutuan, Negeri serta pihak berkuasa tempatan.


"Pengumuman ini memperlihatkan kerjasama utuh antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri serta memberikan pencerahan kepada kaedah kedua-dua pihak mencapai kata putus dalam perkara kesihatan awam, khususnya pembinaan dan pengoperasian hospital seperti yang termaktub dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, usaha mengenal pasti tapak bagi hospital awam di Petaling Jaya telah digerakkan secara lebih aktif sejak 2018, mengambil kira peningkatan populasi di Daerah Petaling yang kini mencecah 2.3 juta penduduk, termasuk lebih 800,000 di Petaling Jaya sahaja.


Ketika ini, kata beliau, penduduk di kawasan tersebut bergantung kepada beberapa fasiliti utama seperti Hospital Sungai Buloh (1,037 katil), Hospital Shah Alam (490 katil) serta Pusat Perubatan Universiti Malaya (946 katil) yang dikendalikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.


Dalam masa sama, Kerajaan Negeri turut bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengatasi isu akses dan kesesakan hospital di seluruh Selangor. Antaranya termasuk pembinaan Hospital Cyberjaya dan Hospital Tanjong Karang yang masing-masing siap pada 2022, serta projek Hospital Kapar yang dijadual siap hujung tahun ini.


Amirudin berkata, lokasi tapak yang dipersetujui itu amat bersesuaian dengan keperluan penduduk Petaling Jaya dari segi akses, kapasiti, kos tanah dan jarak dengan kawasan perumahan.


"Lokasi tersebut membolehkan hospital berkapasiti 500 katil dibangunkan secara konsep vertikal seperti di Hospital Ampang, tanpa memerlukan kawasan tanah yang terlalu luas sekali gus mengoptimumkan kos pembinaan," jelasnya.


Tambah beliau, lawatan tapak oleh KKM akan dilaksanakan dalam masa terdekat dengan penglibatan pelbagai agensi negeri termasuk Unit Perancang Ekonomi Negeri, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Pejabat Daerah Petaling.


"Kerajaan Negeri Selangor bersedia memudahcara dan menyegerakan urusan tanah supaya pembinaan Hospital Petaling Jaya dapat direalisasikan demi manfaat penduduk di Daerah Petaling, khususnya Petaling Jaya, Subang Jaya dan Puchong," katanya lagi.


Sebelum ini, pencarian lokasi hospital telah dipolitikkan oleh pemimpin Bersatu-PN Selangor sebagai suatu kelemahan Kerajaan Negeri, dan membandingkan dengan kejayaan pengendali hospital swasta yang lebih mudah membina bangunan di Selangor sepajang beberapa tahun lalu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page