Tangani banjir: Selangor teroka teknologi kolam takungan bawah tanah


Pembangunan pesat di Selangor memerlukan kaedah lebih inovatif dalam menguruskan lebihan air dan menangani risiko banjir di negeri itu.
Exco Infrastruktur Datuk Ir Izham Hashim (gambar) berkata, perubahan landskap termasuk pembangunan yang pesat menyebabkan kawasan yang berfungsi menyerap air hujan kini tidak lagi mempunyai keupayaan sama.
Situasi tersebut menurutnya menuntut Selangor tidak bergantung sepenuhnya kepada kaedah konvensional, sebaliknya mengambil pendekatan lebih menyeluruh termasuk memanfaatkan kawasan hijau sebagai takungan sementara air hujan.
"Kawasan hijau yang masih tersedia boleh dimanfaatkan sebagai kawasan takungan sementara bagi membolehkan air hujan diserap ke dalam tanah menerusi pendekatan berasaskan alam semula jadi (nature-based solution).
"Pendekatan itu akan diberi perhatian dalam perancangan pembangunan baharu dan kawasan sedia ada, termasuk meneroka pembinaan kolam takungan bawah tanah bagi mengatasi kekangan ruang," katanya dipetik laporan media.
Izham ketika ditemui pada Program MADANI Kita (PMK) Pandan 2026 di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah pada Sabtu.
Mengulas lanjut pendekatan Kerajaan Negeri dalam menangani banjir beliau menjelaskan, keutamaan diberikan kepada kawasan yang kerap dilanda banjir bagi memastikan lokasi berisiko tinggi ditangani terlebih dahulu sebelum diperluas ke kawasan lain.
Pendekatan turut mengambil kira garis panduan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) yang akan diterapkan dalam syarat Kebenaran Merancang (KM) oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).




Comments