'Tanam sayur sendiri tidak turun harga minyak, tetapi negara maju tanam sayur'
- Redzuan Shamsudin

- 1 hour ago
- 2 min read

Cadangan agar rakyat menanam sayur sendiri sebagai sebahagian pendekatan berlapis dalam memastikan keterjaminan makanan negara dipertahankan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (gambar).
Beliau mengecam komen seorang Ahli Parlimen pembangkang yang telah dipecat dari parti, konon menanam sayur sendiri tidak akan menyelesaikan isu keterjaminan makanan.
Kata Mohamad, cadangan diutarakan kementeriannya tidak seharusnya dipandang sinis kerana ia merupakan sebahagian daripada strategi yang lebih besar meningkatkan daya tahan sistem makanan negara.
"Memang benar, dua pokok cili tidak akan menurunkan harga minyak dunia. Sepasu kangkung tidak akan menstabilkan harga urea global. Itu saya pun tahu," katanya dalam muat naik di media sosial.
Menurut Mohamad, kementeriannya telah menyediakan pelan pemantauan situasi geopolitik semasa, khususnya konflik di Timur Tengah yang berpotensi memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan global.
Beliau memberi jaminan bahawa setakat ini bekalan makanan negara masih stabil dan mencukupi, namun kerajaan tetap mengambil langkah awal bagi menghadapi kemungkinan gangguan bekalan.
Katanya, kenaikan harga bahan api serta kos input pertanian seperti baja urea boleh memberi kesan kepada sektor agromakanan termasuk nelayan, kos logistik serta produktiviti pertanian.
"Inilah realiti sebenar keterjaminan makanan yang berkait rapat dengan geopolitik, tenaga, input pertanian, kos logistik dan perdagangan antarabangsa," katanya.
Menurut beliau, beberapa langkah awal telah diambil oleh kerajaan termasuk meningkatkan stok penimbal beras melalui Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) daripada 200,000 tan metrik kepada 300,000 tan metrik.
Selain itu, kementerian turut mengadakan libat urus dengan PETRONAS bagi memastikan bekalan baja urea mencukupi pada harga terkawal serta memperkukuh program pengeluaran domestik melalui pelbagai inisiatif pertanian.
Tambahnya, dalam jangka panjang kementerian merancang sembilan hala tuju strategik termasuk pengeluaran jagung bijian tempatan, pengukuhan industri ruminan, pembangunan baka ayam tempatan serta peningkatan produktiviti padi dan sektor akuakultur.
Sebaliknya, Mohamad berkata usaha menggalakkan rakyat menanam sayur melalui program komuniti merupakan sebahagian daripada strategi nasional yang diamalkan oleh banyak negara maju.
"Apabila kementerian menggalakkan rakyat menanam sayur melalui program Kebuniti dan Kebun Dapur Isirumah, itu bukan kerana kerajaan tiada strategi.
"Ia kerana kita faham keterjaminan makanan mesti dibina secara berlapis," katanya.
Beliau menyarankan pengkritik melihat polisi pertanian Singapura yang amat kekurangan tanah tetapi boleh 'berladang' dalam bangunan.
"Lihat Singapura, kurang daripada 1% tanahnya untuk pertanian, tetapi mereka melabur besar dalam urban farming dan sasaran “30 by 30” untuk tingkatkan pengeluaran tempatan.
"Lihat Jepun, negara maju dengan dasar makanan yang kukuh, namun tetap galakkan komuniti menanam dan menjaga pengeluaran domestik sebagai lapisan keselamatan.
"Adakah mereka tidak faham dasar makanan?" tanyanya.
Tegas Mohamad, Kalau ada yang melihat usaha kecil rakyat dan pegawai KPKM sebagai tidak signifikan, itu hak masing-masing.
"Bagi saya, yang tidak signifikan ialah memperlekehkan usaha membina daya tahan hanya kerana ia tidak berbentuk ‘popular’," katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kementerian akan terus memantau perkembangan geopolitik global, menstabilkan bekalan makanan serta mengurangkan kebergantungan kepada import bagi memperkukuh pengeluaran domestik.


Comments