Tanah Jalan Duta: Pembangunan awam, kerajaan teliti ketat undang undang
- Suara Keadilan

- Oct 29, 2024
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu tanah di Jalan Duta, Kuala Lumpur adalah berkaitan prinsip pembangunan negara dan kepentingan awam.
Beliau berkata, sehingga ke hari ini tiada satu inci tanah diambil atau dibangunkan untuk bangunan swasta atau komersial di kawasan tersebut.
''Semuanya untuk bangunan dan kompleks kerajaan, masjid, gelanggang tenis dan lain-lain.
''Oleh itu, saya rasa ruang harus diberikan kepada kerajaan.. berunding.. menekankan kepada mereka bahawa ini projek kerajaan sejak 1956.
''Kalau perlu, kita lihat seperti mana yang dilakukan Jabatan Peguam Negara sekarang iaitu meneliti aspek perundangan supaya undang-undang diperketatkan, kepentingan awam tidak boleh dikorbankan," katanya ketika Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN- Kota Bharu) mengenai langkah penyelesaian kerajaan dalam kemelut Duta Enclave di Mukim Batu susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan pemulangan semula 263.272 ekar (106.54 hektar) tanah di Jalan Duta, Kuala Lumpur oleh Kerajaan Persekutuan kepada Semantan Estate Sdn Bhd yang memberikan implikasi serius kepada negara dalam pelbagai aspek.
Dalam pada itu, Anwar berkata demi mempertahankan hak negara dan kepentingan awam, kerajaan sedang meneliti langkah untuk meminda undang-undang susulan pemulangan semula 263.272 ekar (106.54 hektar) tanah di Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Namun katanya, pindaan undang-undang itu tidak boleh bercanggah dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan sementara menghormati hak milik perseorangan.
''Sebab itulah kerajaan terus menggunakan jalur undang-undang merayu terhadap keputusan mahkamah dan terakhir keputusan Mahkamah Tinggi untuk menguatkuasa pindah milik kepada syarikat, dan kerajaan akan terus merayu,'' ujar beliau yang juga Menteri Kewangan.









Comments