Isu kalimah suci Islam jangan dipolitikkan, cetus salah faham antara agama
- Suara Keadilan

- 16 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Penggunaan kalimah suci dalam Islam seperti “Alhamdulillah” oleh bukan Muslim tidak seharusnya dipolitikkan apatah lagi dihukum secara sewenang-wenangnya kerana Islam menitikberatkan soal niat, adab dan konteks, tegas mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Ustaz Fakhrulrazi Mokhtar (gambar).
Beliau berkata pada asasnya tiada kesalahan bagi bukan Muslim menyebut kalimah tersebut selagi ia tidak disertai niat menghina, merendahkan atau mempersendakan agama Islam.
"Larangan hanya wajar dikenakan jika penggunaan itu dibuat dengan unsur ejekan, provokasi atau penghinaan yang boleh mencetuskan ketegangan antara agama.
"Jika digunakan secara neutral atau sebagai ungkapan harian, ia tidak sepatutnya disalah tafsir secara melampau," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Fakhrulrazi, dalam konteks antarabangsa khususnya di negara-negara Arab, penggunaan kalimah seperti "Alhamdulillah" oleh bukan Muslim merupakan perkara biasa dalam komunikasi seharian.
Malah di Sabah dan Sarawak, penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam telah lama diamalkan dan diterima berdasarkan sejarah, budaya serta kerangka perundangan sedia ada, jelasnya.
Namun di Semenanjung Malaysia, kata beliau, isu penggunaan kalimah suci Islam sering ditanggapi dengan sentimen yang berbeza sehingga mudah dieksploitasi untuk kepentingan politik sempit.
"Semua pihak seharusnya mengamalkan pendekatan berhemah, saling menghormati serta memahami konteks setempat demi memelihara keharmonian dan perpaduan masyarakat majmuk negara ini," ujarnya.
Mengulas kontroversi terbaharu di Parlimen, Fakhrulrazi menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Rantau Panjang daripada Pas, Zailah Mohd Yusoff yang menegur dan menghukum secara terbuka penggunaan kalimah Alhamdulillah dan syukur oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sebagai tidak wajar serta berpotensi memberi kesan negatif terhadap persepsi bukan Muslim terhadap Islam.
Pada sidang Dewan Rakyat sebelum ini, Zailah dilaporkan melontarkan persoalan "adakah Kor Ming sudah beriman" apabila beliau menyebut Alhamdulillah dan bersyukur ketika membentangkan kejayaan dicapai kementeriannya.
Zailah mempersoalkan ucapan Kor Ming kerana bimbang ia berunsur penghinaan kepada Islam - pandangan yang ditolak banyak pihak termasuk tokoh agama kerana hal itu bukan disebut dalam konteks perbualan seharian.
Isu berkenaan kemudiannya mencetuskan perdebatan awam mengenai batas penggunaan kalimah suci Islam oleh bukan Muslim termasuk soal sensitiviti agama, kebebasan bersuara serta keperluan memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
"Amat malang apabila isu ini dipolitikkan sehingga bukan sahaja menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan bukan Muslim malah boleh menjauhkan mereka daripada memahami keindahan Islam itu sendiri," kata Fakhrulrazi.
Tambahnya nada teguran yang keras itu dilihat mempunyai kecenderungan politik memandangkan Ahli Parlimen Teluk Intan tersebut merupakan pemimpin kanan DAP, yang dianggap lawan oleh Pas.
"Saya yakin sekiranya Nga Kor Ming merupakan sekutu atau ahli Pas, pendekatan dan nada teguran tersebut pasti berbeza.
"Inilah yang menimbulkan persoalan terhadap keikhlasan dalam isu yang kononnya bertujuan mempertahankan kesucian agama," katanya yang suatu ketika dahulu merupakan anggota Pas sebelum menyertai KEADILAN.
Fakhrulrazi menegaskan Islam tidak pernah berkembang melalui paksaan atau kecaman, sebaliknya melalui hikmah, kebijaksanaan dan akhlak yang mulia.
"Jika benar mahu mempertahankan kesucian Islam, lakukan dengan ilmu, hikmah dan adab, bukan dengan menghukum secara politik yang akhirnya merugikan agama itu sendiri," katanya.









Comments