Kedudukan Malaysia meningkat dalam Indeks Persepsi Rasuah 2025
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Usaha reformasi antirasuah di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI membuahkan hasil apabila kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 meningkat ke tangga ke-54 berbanding ke-57 tahun lalu.
Transparency International Malaysia (TI-M) memaklumkan Malaysia turut merekodkan skor 52 mata, meningkat daripada 50 mata pada 2023 dan 2024.
"Keputusan ini berdasarkan 13 kajian dan penilaian pakar yang mengukur persepsi tahap rasuah sektor awam di 182 negara serta wilayah di seluruh dunia.
"Peningkatan ini juga membuktikan usaha pencegahan anti rasuah, tindakan penguatkuasaan dan komitmen tadbir urus diiktiraf pada peringkat antarabangsa," kata Presiden TI-M, Raymon Ram (gambar) dalam satu kenyataan.
Beberapa faktor berkemungkinan menyumbang kepada peningkatan skor CPI Malaysia pada tahun 2025 termasuk pengenalan Akta Tanggungjawab Kewangan dan Fiskal 2023, pindaan Akta Audit 1957 yang memperluaskan pengawasan Ketua Audit Negara ke atas syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), serta pengenalan ketelusan pemunyaan benefisial melalui Akta Syarikat (Pindaan) 2024.
Faktor lain adalah tindakan penguatkuasaan berterusan terhadap pegawai kanan awam dan ahli politik elit, serta cadangan undang-undang baharu seperti rang undang-undang (RUU) Perolehan Kerajaan dan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat
"Pencapaian tersebut bukan noktah muktamad, sebaliknya menuntut reformasi yang lebih konsisten dan dipercepatkan bagi mencapai sasaran negara berada dalam kelompok 25 teratas CPI menjelang 2033," tambah Raymon.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan rasa syukur atas pencapaian itu.
Pencapaian itu jelasnya juga adalah peringatan agar usaha memerangi rasuah digandakan secara konsisten dan berani, demi memulihkan keyakinan rakyat serta memastikan amanah negara terus dipertahankan.









Comments