top of page

Kerjasama pembangunan melalui RECODA rancakkan ekonomi Sarawak

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 minutes ago
  • 2 min read


Oleh: Akmal Manaf


Sarawak mendapat peruntukan pembangunan dari Kerajaan Persekutuan yang disalurkan di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).


Naib Pengerusi KEADILAN Sarawak, Khusyairy Pangkas (gambar) berkata, sejak 2010 sehingga suku tahun ketiga 2024, kerajaan pusat telah menyalurkan sejumlah RM955 juta peruntukan kepada RECODA untuk projek-projek di bawah agensi pembangunan wilayah seperti URDA, HDA, dan NRDA.


"Beberapa agensi juga telah ditubuhkan sejak kebelakangan ini (bagi merancakkan pembangunan).


"Mengikut sumber Kementerian Ekonomi, sejumlah RM77.46 juta telah disalurkan untuk perbelanjaan pengurusan dan operasi kepada RECODA.


"Manakala RM58.46 juta disalurkan untuk program memperkasakan sosio ekonomi di bawah agensi-agensi pembangunan wilayah.

 

"Sarawak bersyukur di atas keprihatinan Kerajaan Persekutuan membiayai peruntukan pembangunan kepada setiap agensi pembangunan wilayah di bawah RECODA," katanya dalam satu kenyataan.


Khusyairy berkata, meskipun impak pembangunan fizikal dapat dilihat, masih terdapat projek yang lewat siap, tertangguh, malah berstatus 'projek sakit'.


Justeru katanya, memandangkan punca kuasa pembiayaan dana pembangunan itu di bawah Akta Dana Pembangunan 1966, dan tadbir urusnya tertakluk kepada Akta Tatacara Kewangan 1957, Pegawai Pengawal Kementerian terbabit perlu memastikan akauntabiliti melalui pemantauan dan pengawalan pengurusan kewangan serta mematuhi prosedur perolehan kerajaan.


Menurut beliau yang juga Ketua Biro Profesional KEADILAN Sarawak, Jabatan Audit Negara juga wajib menjalankan tugasan audit berkala.


Dalam pada itu Khusyairy gembira kerana RECODA turut mengambil bahagian dalam mewujudkan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang merupakan nadi pertumbuhan ekonomi negeri pada masa hadapan.


"Hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan RECODA di Sarawak adalah berasaskan kerjasama strategik untuk membangunkan SCORE.


"Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan pembangunan fizikal, geran pengurusan dan operasi, serta insentif pelaburan dan pengecualian cukai import.


"Manakala RECODA mengadakan kerjasama pelaburan dengan agensi persekutuan seperti Malaysia Investment Development Authority (MIDA) dan Economic Planning Unit (EPU) untuk menarik pelabur asing dan domestik ke SCORE, serta bertindak sebagai agensi pelaksana yang memudahkan pelaburan, pembangunan infrastruktur, dan pembangunan sosio-ekonomi di koridor tersebut," jelas beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Kapit.


Khusyairy berharap kerjasama Kerajaan Persekutuan dan negeri akan lebih mantap pada masa depan bagi membangunkan ekonomi rakyat Sarawak yang agak ketinggalan pada masa ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page