Talak Pas Terhadap Bersatu: Apakah Kesan Kepada PN?
- Suara Keadilan

- 4m
- 4 min read

Oleh: Dr Zulqarnain Lukman
ULASAN: Susulan talak Pas terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) maka timbul persoalan apakah kedudukan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) dan apakah kedudukan Bersatu di dalam PN.
Untuk memahami isu ini, perlulah dirujuk kepada Perlembagaan PN itu sendiri. Fasal 6 Perlembagaan PN menyatakan bahawa ada tiga jenis ahli PN iaitu Parti Anggota, Ahli Bergabung dan Ahli Bersekutu. Fasal 6.2 menyatakan Parti Anggota adalah Bersatu, Pas, Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Gerakan Rakyat Malaysia dan lain-lain parti yang telah dipersetujui secara majoriti untuk diterima sebagai anggota PN.
Parti SAPP secara rasmi telah menarik diri daripada PN semenjak Disember 2024 seperti yang diumumkan Presidennya, Yong Teck Lee. Kini PN dianggotai oleh Bersatu, Pas, Gerakan dan MIPP.
Perlembagaan PN tidak menetapkan bagaimanakah keanggotaan Parti Anggota boleh terlucut. Namun, Fasal 15 Perlembagaan PN menyatakan Majlis Tertinggi mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana Parti Anggota dengan memberi amaran, menggantung atau memecat mana-mana Parti Anggota yang melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kepentingan PN.
Struktur PN
PN itu sendiri mempunyai dua badan utama iaitu Majlis Presiden dan Majlis Tertinggi. Fasal 7A Perlembagaan PN menyatakan Majlis Presiden hendaklah dianggotai oleh semua Presiden Parti Anggota. Kuasa Majlis Presiden adalah untuk membuat keputusan muktamad mengenai dasar utama PN yang akan dirujuk oleh Majlis Tertinggi, ketetapan kerusi pilihanraya, perkara berkaitan disiplin Parti Anggota dan apa-apa hal lain yang dirujuk kepadanya oleh Majlis Tertinggi.
Kuasa untuk memanggil mesyuarat Majlis Presiden adalah terletak kepada Pengerusi PN. Koram mesyuarat adalah dengan kehadiran semua Presiden Parti Anggota atau wakil yang sah yang diberikan kebenaran bertulis oleh Presiden Parti Anggota yang tidak hadir. Keputusan Majlis Presiden hendaklah diputuskan secara konsensus.
Fasal 8 pula menyatakan bahawa semua urusan PN hendaklah ditadbirkan oleh Majlis Tertinggi. Anggota Majlis Tertinggi adalah:
1) Pengerusi
2) Timbalan-Timbalan Pengerusi
3) Setiausaha Agung
4) Ketua Penerangan
5) Bendahari Agung
6) Timbalan Setiausaha Agung
7) Ketua Wanita, Ketua Pemuda
9) Ketua Pengarah Pilihan Raya
10) Dua orang wakil daripada setiap Parti Anggota
Menurut laporan berita, berikut adalah ahli Majlis Tertinggi PN:
1) Pengerusi - Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar (Pas)
2) Timbalan-Timbalan Pengerusi (Muhyiddin Yassin, Dominic Lau Hoe Chai, Punithan Paramsiven, Tuan Ibrahim Tuan Man)
3) Setiausaha Agung - Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Pas)
4) Ketua Penerangan - Annuar Musa (Pas)
5) Bendahari Agung - Muhammad Sanusi Md Nor (Pas)
6) Timbalan Setiausaha Agung - Mohamed Azmin Ali (Bersatu)
7) Ketua Wanita - Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Bersatu)
Ketua Pemuda - Afnan Hamimi Taib Azamudden (Pas)
9) Ketua Pengarah Pilihan Raya - Radzi Md Jidin (Bersatu)
10) Dua orang wakil daripada setiap Parti Anggota
Mesyuarat Majlis Tertinggi PN hendaklah diadakan sekurang-kurangnya empat kali setahun dan Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi boleh diadakan atas permintaan sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah Parti Anggota. Keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi hendaklah dibuat secara majoriti oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi.
Berdasarkan komposisi PN itu, Pas mempunyai 7 ahli, Bersatu mempunyai 6 ahli, Gerakan dan MIPP masing-masing mempunyai 3 ahli Majlis Tertinggi.
Kesan Pas putus hubungan
Oleh itu, sekarang ini timbul isu apakah kesan talak Pas terhadap Bersatu. Jawapan secara perlembagaan, Bersatu masih lagi ahli PN dan tidak memberikan kesan kepada keahlian Bersatu di dalam PN.

Namun, secara politik kedudukan dua parti yang bertelagah ini menunjukkan jalan sukar dan jalan tidak stabil kepada negeri dan negara. Ini kerana, penentuan kerusi bertanding di dalam pilihan raya umum atau pilihan raya negeri perlu diputuskan secara konsensus di dalam Majlis Presiden. Adakah konsensus ini boleh dicapai dalam keadaan bertelagah?
Keduanya, sekiranya Bersatu mendapat sokongan daripada Gerakan dan MIPP kerana wajah Bersatu lebih sederhana berbanding wajah Pas yang ekstrem maka keputusan di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi pasti akan menghampakan Pas. Ini kerana Pas hanya mempunyai 7 ahli berbanding kombinasi Bersatu, Gerakan dan MIPP yang mempunyai jumlah kolektif ahli seramai 12 orang.
Lebih menyulitkan adalah Pas memegang jawatan utama di dalam PN iaitu jawatan Pengerusi dan Setiausaha Agung. Kuasa Pengerusi PN adalah sangat besar daripada kuasa untuk memanggil mesyuarat Majlis Presiden sehinggalah kuasa untuk mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi dan kuasa untuk memanggil mesyuarat Badan Perhubungan Negeri dan Kawasan.
PN tidak stabil, diambang kehancuran?
Justeru, PN kini sebenarnya di ambang kehancuran dan bukanlah satu wadah yang stabil bagi pengundi untuk memilih PN untuk menerajui negeri atau negara. Bayangkan jika PN dipilih untuk memerintah negara maka keadaan akan menjadi tidak stabil dan kucar-kacir dalam keadaan Pas sendiri tidak boleh bertoleransi dan mencapai kata sepakat sesama Parti Anggota. Apa yang lebih ironi adalah bagaimana dalam keadaan kucar-kacir begini, Pengerusi PN memilih untuk berdiam diri seribu bahasa.
Sepatutnya Pengerusi PN menunjukkan bakat kepimpinan yang beliau ada dan bukan bersembunyi tanpa sebarang kenyataan.
Pengerusi PN nampaknya masih tidak dapat membezakan kedudukannya antara kedudukannya sebagai Naib Presiden Pas dan Presiden PN. Ini mungkin kerana beliau sendiri dalam keadaan serba salah di antara untuk menunjukkan sikap walak kepada Presiden Pas dan untuk berfungsi sebagai Pengerusi PN yang berkuasa.
Sebenarnya, adalah lebih terhormat untuk Pas mengumumkan keluar daripada PN seperti yang dibuat oleh Parti SAPP berbanding untuk terus berpaut dengan label PN. Pas sendiri pun mempunyai kekuatan untuk pergi solo di dalam pilihanraya dan bertanding menggunakan logo bulan. Apatah lagi, Pas sendiri pernah menggunakan logo bulan semasa PRN di Kelantan dan Terengganu (pada PRU 2022 dan PRN 2023 lalu).




Comments