Tahlil tiada dalam syariat tetapi jangan persenda amalan orang Melayu - Faiz
- Suara Keadilan

- Aug 6
- 2 min read

Jawapan Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Zuhir Wan Ghazali bahawa tahlil bukan sebahagian daripada syariat Islam apabila gurauannya 'tengah mentahlilkan' pemimpin DAP dalam satu video amatlah tidak wajar.
Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Faiz Fadzil (gambar) berkata meskipun tahlil diperdebatkan dalam kalangan ilmuan Islam namun mempersendakannya boleh mengguris perasaan masyarakat Melayu serta menyemarakkan sentimen perkauman.
"Kenyataan Wan Muhammad Zuhir Wan Ghazali bahawa tahlil bukan sebahagian daripada syariat Islam boleh mengguris perasaan orang Melayu, kerana tahlil adalah amalan orang Melayu sejak sekian lama," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Faiz, walaupun status tahlil sebagai amalan syariat menjadi perbahasan dalam kalangan ilmuan Islam, kandungannya merangkumi bacaan al-Quran, selawat, zikir dan doa tidak bertentangan dengan syarak.
"Oleh itu, sama ada tahlil adalah syariat ataupun tidak, bukanlah tiket untuk mana-mana individu mempermainkannya sebagai alat politik atau menyindir mana-mana ahli politik, terutama orang bukan Islam, seolah-olah mereka juga mengamalkan amalan tahlil," katanya.
Beliau berkata, tindakan menjadikan amalan keagamaan sebagai bahan sindiran boleh mencetuskan ketegangan antara kaum.
"Tindakan sebegini boleh menyemarakkan lagi api perkauman kerana amalan orang Melayu tidak seharusnya dijadikan bahan ejekan atau sindiran ke atas orang bukan Melayu, apatah lagi ia berkaitan amalan dalam Islam," katanya.
Dalam pada itu, Faiz turut mengkritik Pas kerana didakwa berdiam diri berhubung kenyataan berkenaan, sedangkan parti itu sering menghentam pihak Pakatan Harapan di atas isu yang tidak pun menyentuh agama.
"Adalah malang dalam suasana politik hari ini apabila gelombang penyatuan umat cuba memesong pemikiran orang Melayu kononnya Islam terancam, tetapi Pas membisu berkaitan kenyataan Exco Pemuda Umno tersebut," katanya.
Beliau turut mendakwa pendirian Pas terhadap isu Islam berubah mengikut selera pemimpin politik.
"Demi kuasa, Pas tidak lagi bersuara dalam isu Islam sepertimana isu cabutan khas judi dinaikkan daripada lapan kepada 22 ketika memerintah bersama Perikatan Nasional dahulu," katanya.
Sehubungan itu, Faiz menggesa Wan Muhammad Zuhir menarik balik kenyataan berkenaan dan memohon maaf kepada seluruh masyarakat Islam di Malaysia.




Comments