Tahanan rumah Najib: KDN perlu jelaskan asas undang-undang - Mahfuz


Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Penjara perlu menjelaskan asas perundangan yang membolehkan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak, ketika Akta Tahanan Rumah masih dalam proses penggubalan.
Bagi Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar, kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini bahawa akta berkenaan masih dalam proses penggubalan menimbulkan persoalan mengenai peruntukan undang-undang yang digunakan bagi melaksanakan tahanan rumah tersebut.
Hal itu menurut Mahfuz, pada 14 Oktober lalu, peguam Najib mengesahkan anak guamnya menerima perintah tahanan rumah berserta syarat dan mekanisme pelaksanaannya dengan kediaman beliau di Langgak Duta, Kuala Lumpur ditetapkan sebagai lokasi tahanan.
"Persoalannya mudah, apakah peruntukan undang-undang, peraturan atau kuasa sedia ada yang digunakan untuk melaksanakan tahanan rumah terhadap seorang pesalah yang telah disabitkan dan sedang menjalani hukuman penjara?" katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, jika Akta Tahanan Rumah masih belum berkuat kuasa, KDN perlu menjelaskan asas undang-undang yang membolehkan pelaksanaan tersebut dilakukan.
Beliau menegaskan perkara itu penting kerana ia membabitkan pelaksanaan hukuman jenayah serta prinsip kedaulatan undang-undang yang perlu terpakai kepada semua pihak.
Mahfuz berkata, beliau menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong, namun mahu kepastian berkenaan asas perundangan dan tatacara pelaksanaannya.
"Saya menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong. Namun, menghormati kuasa pengampunan tidak bermakna persoalan tentang asas perundangan dan tatacara pelaksanaannya tidak boleh ditanya," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta KDN dan Jabatan Penjara memberikan penjelasan secara terbuka supaya rakyat memahami kedudukan sebenar dari sudut perundangan.
Menurutnya, penjelasan tersebut penting bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai mengenai pelaksanaan keputusan yang mempunyai implikasi besar terhadap sistem keadilan negara.
"Jika semuanya mempunyai sandaran undang-undang yang jelas, jelaskan kepada rakyat. Kedaulatan undang-undang bukan sekadar prinsip yang kita lafazkan, tetapi prinsip yang mesti dipatuhi," katanya lagi.




Comments