top of page

Tutup sekolah IPU 200: Fadhlina perjelas guna kembali PTJK

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
8 hours ago
2 min read

Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan untuk kembali menggunakan ketetapan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) yang menetapkan sekolah ditutup serta-merta apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 200.


Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata keputusan itu dibuat selepas kementerian mengadakan perbincangan semula dengan agensi berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).


Menurut beliau, langkah itu turut mengambil kira pandangan NADMA supaya pengurusan jerebu negara berpandukan PTJK sebagai panduan di peringkat kebangsaan.


"Saya baca ramai yang tanya, kenapa sebelum ini sekolah ditutup bila IPU masih rendah, sekarang kena tunggu sampai 200 pula?


"Apabila Yang di-Pertuan Agong menzahirkan kebimbangan tentang keadaan jerebu, sudah tentu kita ambil serius. Kita pilih untuk lebih berhati-hati sebab yang kita nak jaga ini anak-anak kita sendiri," katanya dalam hantaran di Facebook.


Fadhlina menjelaskan selepas keputusan menutup sekolah dibuat minggu lalu dalam keadaan IPU tidak mencecah 200, pihaknya masih menerima pelbagai reaksi daripada ibu bapa termasuk mereka yang risau pelajar semakin tertinggal pelajaran.


"Selepas keputusan itu dibuat, saya masih baca pelbagai pandangan ibu bapa. Ada yang minta tutup terus seminggu. Ada yang risau anak-anak makin tertinggal pelajaran. Ada juga yang pening kepala sebab kena pergi kerja, tiba-tiba sekolah tutup dan tak ada siapa nak jaga anak di rumah.


"Setiap keluarga ada keadaan dan cabaran masing-masing. Setiap pandangan yang diberikan tentu ada sebabnya," katanya.


Fadhlina berkata kementerian memahami kebimbangan ibu bapa yang berpendapat sekolah sepatutnya ditutup pada bacaan IPU lebih rendah terutama apabila bacaan 150 sudah dikategorikan sebagai tidak sihat.


"Dalam menguruskan jerebu, setiap tahap bacaan IPU ada tindakan yang perlu diambil. Kita tak boleh anggap semua tahap risiko memerlukan tindakan yang sama," katanya.


Beliau menjelaskan apabila IPU melebihi 100, semua aktiviti luar bilik darjah perlu dihentikan bagi mengurangkan pendedahan murid kepada udara tercemar manakala sekolah ditutup serta-merta apabila bacaan mencapai 200.


Menurut beliau pengurusan jerebu bukan sekadar menentukan sama ada sekolah perlu dibuka atau ditutup sebaliknya turut melibatkan aspek kesihatan awam, pemantauan kualiti udara dan pengurusan bencana yang memerlukan kepakaran agensi berkaitan.


Sehubungan itu, kata Fadhlina, KPM mendapatkan pandangan agensi yang bertanggungjawab dalam bidang masing-masing sebelum memutuskan untuk kembali kepada ketetapan PTJK.


"PTJK ini pun bukan pelan yang baru dibuat. Negara memang dah ada panduan untuk uruskan jerebu. Sebab itu penting untuk kita kembali kepada satu panduan yang sudah ditetapkan di peringkat kebangsaan," ujarnya.


Dalam pada itu, Fadhlina berkata ibu bapa yang bimbang keadaan jerebu boleh menjejaskan kesihatan anak dibenarkan tidak menghantar mereka ke sekolah dengan syarat memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.


Beliau berkata kelonggaran berkenaan mengambil kira keadaan kesihatan murid yang berbeza, termasuk mereka yang menghidap asma, mengalami masalah pernafasan atau lebih mudah terkesan akibat pencemaran udara.


Bagaimanapun, katanya keputusan berkaitan penutupan sekolah perlu turut mengambil kira kepentingan pembelajaran murid supaya mereka tidak terus kehilangan masa belajar.


"Pengalaman kita ketika PKP (Perintah Kawalan Perjalanan) dahulu cukup mengajar betapa sukarnya untuk mendapatkan semula pembelajaran yang tertinggal," katanya.


"Saya faham tidak semua orang akan bersetuju dengan setiap keputusan. Apa yang boleh dipastikan, setiap kebimbangan akan terus didengar dan keputusan akan dibuat dengan merujuk mereka yang mempunyai kepakaran."


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page