Kerajaan MADANI berjaya kurangkan defisit fiskal, berjaya urus ekonomi - Onn


Kerajaan MADANI membuktikan komitmen memperkukuh kedudukan kewangan negara apabila defisit fiskal berjaya dikurangkan secara berperingkat daripada 5.5% pada 2022 kepada 3.6% tahun ini, sebelum disasarkan menurun kepada 3.3% pada 2027.
Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar berkata, pencapaian itu menunjukkan usaha memperkemas pengurusan fiskal negara dapat dilaksanakan tanpa mengetepikan keperluan rakyat, khususnya dalam sektor pendidikan, kesihatan, keselamatan dan pembangunan.
Beliau berkata, pendekatan pengurusan kewangan yang lebih berdisiplin membolehkan kerajaan mengurangkan defisit fiskal secara konsisten meskipun berdepan pelbagai cabaran ekonomi.
"Daripada defisit sebanyak 5.5 peratus daripada KDNK pada 2022, kerajaan telah berjaya mengurangkannya kepada 5 peratus pada 2023, 4.1 peratus (2024), 3.7 peratus (2025), 3.6 peratus pada 2026 dan InsyaAllah dijangkakan 3.3 peratus pada tahun hadapan.
"Ini satu pencapaian yang wajar diberikan pengiktirafan dan apa yang menarik perhatian Batu Pahat ialah kerajaan berusaha mengurangkan defisit tanpa mengabaikan tanggungjawab menyediakan peruntukan bagi pendidikan, kesihatan, keselamatan dan pembangunan untuk rakyat," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika Perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027.
Menurut Onn lagi, ketika Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran negara, kedudukan kewangan negara berdepan pelbagai cabaran, termasuk beban hutang, komitmen perbelanjaan yang tinggi serta tekanan ekonomi global.
Bagaimanapun ujarnya, kerajaan terus berusaha memperbaiki kedudukan fiskal negara melalui pengurusan kewangan yang lebih berdisiplin dan pendekatan yang mengambil kira keperluan pembangunan negara.
"Batu Pahat ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tambun (Datuk Seri Anwar Ibrahim) merangkap Menteri Kewangan atas pembentangan Belanjawan 2027.
"Batu Pahat melihat Belanjawan 2027 bukan sekadar membentangkan angka-angka peruntukan yang besar, tetapi turut mempamerkan kesungguhan Kerajaan MADANI untuk memperkukuhkan kedudukan ekonomi negara, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memastikan pembangunan negara dapat diteruskan dengan lebih tersusun dan mampan," kata beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Pejabat Presiden KEADILAN.




Comments