top of page

Jerebu: IPU 101 sudah tidak sihat, mengapa tunggu 200 tutup sekolah?

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
8 hours ago
2 min read

KEADILAN Cabang Masjid Tanah mempersoalkan keperluan menunggu bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencecah paras tertentu sebelum sekolah ditutup ketika keadaan udara sudah dikategorikan tidak sihat, terutama demi melindungi kesihatan kanak-kanak.


Ketua Penajanya, Asri Ibrahim (gambar) berkata keselamatan dan kebajikan rakyat perlu terus menjadi keutamaan meskipun negara sedang membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.


Menurutnya, bayi, kanak-kanak prasekolah, murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah merupakan golongan yang memerlukan perlindungan khusus daripada kesan pencemaran udara.


"Pilihanraya menentukan kepimpinan untuk beberapa tahun. Namun, kesihatan anak-anak menentukan masa depan sebuah generasi.


"Apakah ertinya kita sibuk memperjuangkan masa depan negeri sekiranya udara yang dihirup anak-anak hari ini pun belum mampu kita lindungi?" katanya dalam kenyataan.


Beliau berkata, berdasarkan kategori IPU, bacaan antara 101 hingga 200 adalah tidak sihat, manakala bacaan 201 hingga 300 dikategorikan sebagai sangat tidak sihat.


Justeru, beliau mempersoalkan mengapa tindakan penutupan sekolah perlu menunggu sehingga bacaan IPU melepasi paras tertentu sedangkan risiko kesihatan sudah wujud pada tahap pencemaran yang lebih rendah.


"IPU 200 bukan ukuran udara selamat. Ia hanyalah ambang pentadbiran bagi tindakan penutupan sekolah, bukannya jaminan bahawa kesihatan murid terlindung sepenuhnya," katanya.


Kanak kanak lebih terdedah pencemaran


Asri turut mengingatkan bahawa kanak-kanak lebih terdedah kepada kesan pencemaran udara kerana sistem pernafasan mereka masih berkembang, manakala pendedahan kepada zarah halus boleh meningkatkan risiko masalah pernafasan dan memburukkan gejala asma.


Beliau mengambil maklum pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 8 Oktober 2026 mengenai penutupan institusi pendidikan apabila IPU melebihi 180, berkuat kuasa 9 Oktober 2026, serta arahan tambahan bagi kawasan yang mencatatkan IPU melebihi 150 selama tiga hari berturut-turut mulai 12 Oktober 2026.


Bagaimanapun, beliau berkata beberapa perkara masih memerlukan penjelasan, termasuk asas saintifik penetapan ambang penutupan sekolah, tahap keselamatan udara di dalam bilik darjah yang menggunakan pengudaraan semula jadi serta perlindungan bagi kanak-kanak di TASKA dan TADIKA.


Menurut Asri, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjelaskan bahawa kanak-kanak lebih terdedah kepada kesan pencemaran udara kerana organ pernafasan mereka masih berkembang.


Zarah halus PM2.5 mampu memasuki bahagian terdalam paru-paru dan meningkatkan risiko masalah pernafasan, memburukkan gejala asma serta menjejaskan perkembangan fungsi paru-paru akibat pendedahan berpanjangan.


Belajar dari rumah


Beliau turut mempersoalkan sama ada mekanisme pembelajaran dari rumah boleh dipertimbangkan lebih awal apabila pencemaran udara kekal pada tahap tidak sihat, selain keperluan memastikan ibu bapa menerima maklumat mencukupi untuk membuat keputusan bagi anak yang mempunyai masalah pernafasan.


Sehubungan itu, KEADILAN Cabang Masjid Tanah menggesa Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Kesihatan Daerah dan pengurusan institusi pendidikan memperkukuh penyelarasan tindakan bagi menghadapi jerebu.


Antara cadangannya ialah mewujudkan sistem amaran awal berdasarkan bacaan IPU setempat, menilai risiko kesihatan murid, menghentikan aktiviti luar ketika udara tidak sihat dan menyediakan pilihan pembelajaran alternatif apabila keadaan memerlukan.


"Perlindungan juga mesti melibatkan TASKA, TADIKA dan pusat jagaan kanak-kanak, bukan sekolah semata-mata.


"Keputusan penutupan perlu mempertimbangkan tempoh pendedahan, keadaan premis dan nasihat kesihatan, bukan bergantung kepada satu angka semata-mata," katanya.


Asri menegaskan pihaknya tidak menuntut sekolah ditutup sewenang-wenangnya, sebaliknya mahu dasar yang lebih responsif, berasaskan bukti saintifik dan mengutamakan langkah pencegahan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page