Kerajaan jamin projek residensi mahasiswa siap ikut jadual - PM


Kerajaan memberi jaminan projek perumahan mahasiswa menjadi keutamaan pentadbiran MADANI dengan memastikan pelaksanaannya dipercepatkan dan disiapkan mengikut jadual, demikian kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata semua kementerian, jabatan dan agensi berkaitan termasuk Kementerian Kewangan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarahkan mempercepatkan proses kelulusan bagi memastikan projek itu dapat dilaksanakan tanpa kelewatan.
Menurutnya, projek Residensi Siswa Universiti Malaya (UM) akan menjadi contoh baharu dalam usaha kerajaan menangani masalah penginapan mahasiswa yang semakin mencabar khususnya berikutan kenaikan kadar sewa rumah di sekitar kampus.
"Ini projek kita, mesti kita jayakan dalam masa dan tempoh yang pantas," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Residensi Siswa Universiti Malaya, Kuala Lumpur hari ini.
"Jadi Residensi Siswa Universiti Malaya ini, saya nak jadikan contoh awal kerana selepas ini ada projek yang sama untuk UiTM (Universiti Teknologi MARA), UniSZA (Universiti Sultan Zainal Abidin) fasa kedua yang kita akan segerakan.
"Tapi kita mulakan dengan di sini, jadi pertama tanah selesai, perancangan dan design mesti memenuhi skop yang baru, bukan concrete jungle (hutan konkrit) tetapi ada nilai manusiawinya, kalau tidak apa makna ‘menggapai di langit, mengakar di bumi’."
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau akan memantau sendiri pelaksanaan projek berkenaan bagi memastikan ia berjalan lancar, selain mengarahkan semua agensi kerajaan memberikan kerjasama sepenuhnya untuk mempercepatkan proses pembangunan.
Beliau menegaskan projek itu tidak seharusnya terikat dengan jadual asal sehingga 2030, sebaliknya kerajaan akan berusaha memastikan pembinaannya dapat disiapkan lebih awal melalui penyelarasan dan kelulusan secara fast track.
"Ini sebuah kerajaan MADANI baharu yang cekap. Jadi kita akan cuba selaraskan supaya dipercepatkan," katanya.
Projek Residensi Siswa UM itu merupakan inisiatif kerjasama universiti dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat milik kerajaan bagi menyediakan kemudahan kediaman mahasiswa, dengan sasaran jangka panjang melibatkan sehingga 30,000 pelajar.
Anwar berkata fasa pertama projek itu dirancang untuk menyediakan kemudahan kepada 10,000 mahasiswa sekali gus menjadi permulaan kepada usaha lebih menyeluruh untuk menangani isu perumahan pelajar di institusi pengajian tinggi.
Mengenai penglibatan GLIC dalam projek itu, beliau menjelaskan, kerajaan bukan semata-mata untuk menjana keuntungan sebaliknya mahu memenuhi tanggungjawab sosial bagi memastikan manfaat pelaburan dapat dikembalikan kepada rakyat.
Menurut beliau, kerajaan tidak mampu bergantung sepenuhnya kepada peruntukan awam untuk menampung semua keperluan sektor pendidikan sebaliknya perlu kerjasama GLIC untuk menyuntik dana.
"Jadi, kita gabung kekuatan dari syarikat-syarikat kerajaan... (yang) menyumbangkan pelaburan.
"... untungnya pulang kepada rakyat secara langsung. Berbeza dengan syarikat-syarikat swasta kerana mungkin diragui," ujarnya.
Anwar menegaskan aspek pemantauan, integriti dan ketelusan mesti diberikan perhatian serius bagi mengelakkan kelewatan, peningkatan kos serta ketirisan dana awam yang sering dikaitkan dengan pelaksanaan projek pembangunan.
Beliau berkata kerajaan juga bercadang mendedahkan maklumat projek perumahan mahasiswa termasuk kos, kontraktor dan tempoh pelaksanaan supaya rakyat serta mahasiswa dapat menilai kemajuan dan pelaksanaannya.
"Itulah yang kita maksudkan dengan ketelusan," katanya sambil meningatkan kerajaan tidak mahu mengulangi kes projek terbengkalai hingga perlu meminta penambahan kos.
Dalam pada itu, Anwar mahu konsep pembangunan residensi mahasiswa menitikberatkan keselesaan, kemudahan asas, persekitaran yang baik serta nilai kemanusiaan.
"Seni binanya harus juga mengambil kira bukan sahaja soal persekitaran, keindahannya, dan budayanya," katanya.
"Ada elemen MADANI yang manusiawi. Dan ini contoh terbaik yang harus Universiti Malaya sediakan. Kalau tidak, kita bicara soal manusiawi dan MADANI ini hanya slogan. Tapi memaknainya adalah melalui projek, termasuk Projek Perumahan Mahasiswa ini."
Beliau turut memaklumkan inisiatif sama akan diperluaskan ke UiTM dan UniSZA, Terengganu sebagai fasa seterusnya sebelum dipertimbangkan untuk pelaksanaan di universiti lain.
"Saya nak anak-anak rasa lega dan percaya Kerajaan MADANI ini bukan saja berbicara tetapi melaksanakan," katanya.




Comments