Tahan flotila: 'Serupa tindakan lanun, cemar prinsip kemanusiaan sejagat' - PM
- Helmi Mohd Foad

- Apr 30
- 2 min read

Malaysia mengutuk keras tindakan ganas rejim Zionis Israel terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla di perairan antarabangsa yang disifatkan sebagai pelanggaran nyata undang-undang maritim.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia turut mendesak semua pihak berkaitan agar bertindak segera dan memastikan tiada sebarang tindakan keras dikenakan terhadap para aktivis yang terlibat dalam misi tersebut.
"Saya mengutuk tindakan ganas rejim Zionis Israel terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla di perairan antarabangsa, satu pelanggaran nyata undang-undang maritim dan menyerupai tindakan lanun yang mencemari prinsip kemanusiaan sejagat.
"Malaysia mendesak agar semua pihak bertindak dengan segera dan memastikan tiada sebarang tindakan keras dikenakan terhadap semua para aktivis, termasuk 10 rakyat Malaysia yang kini ditahan dan terputus hubungan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Perdana Menteri menegaskan keselamatan anggota misi warga Malaysia mesti dijamin tanpa kompromi.
Justeru itu katanya, Kerajaan MADANI kini sedang berhubung dan bekerjasama rapat dengan negara-negara sahabat dalam usaha memastikan kesemua aktivis terbabit dibebaskan dengan segera.
Menurutnya, dalam situasi getir seperti ini, nilai ihsan dan kemanusiaan harus mengatasi segala perbezaan, sambil menegaskan pendirian Malaysia untuk terus berdiri teguh mempertahankan prinsip tersebut di peringkat antarabangsa.
"Kepada Allah SWT kita berserah, disulam dengan usaha menyeluruh yang sedang digerakkan, semoga kesemua mereka berada dalam keadaan selamat. Doa seluruh rakyat Malaysia mengiringi Global Sumud Flotilla," kata Perdana Menteri.
Laporan media antarabangsa menyebut sebanyak 22 kapal yang membawa 186 aktivis kemanusiaan dalam misi tersebut dilaporkan dipintas tentera Israel awal pagi tadi ketika dalam pelayaran bagi memecahkan kepungan ke atas Gaza.
Daripada jumlah itu, enam kapal yang ditahan serta diceroboh melibatkan 10 rakyat Malaysia, termasuk Zainal Rashid Ahmad, Osman Zolkifli, Dr Jihan Alya Mohd Nordin, Mohd Shamsir Mohd Isa, Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Redzal Amzah serta Muhamad Muhsin Zaidi.
Terdahulu, Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby memaklumkan kapal flotila itu dihampiri secara agresif oleh kapal tentera Israel ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete.




Comments