Tadbir urus baik kukuhkan Malaysia hab kewangan Islam global
- Suara Keadilan

- Oct 14
- 2 min read

Malaysia akan terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab kewangan Islam global dengan menumpukan kepada aspek tadbir urus baik dan nilai kemanusiaan sebagai teras pembangunan ekonomi, demikian menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menegaskan instrumen kewangan Islam bukan sekadar pelengkap kepada sistem sedia ada tetapi perlu dilihat sebagai alternatif berdaya maju yang menekankan prinsip keadilan, ihsan dan kesejahteraan menyeluruh.
"Kewangan Islam mesti menonjol bukan hanya dalam konteks keuntungan tetapi juga dalam membawa nilai, keadilan dan tadbir urus yang baik.
"Kalau sistemnya masih terpalit dengan rasuah, ketirisan dan penyalahgunaan kuasa, ia tidak akan mencapai matlamat maqasid syariah," kata Anwar dipetik ketika berucap merasmikan Forum Kewangan Islam Global (GIFF) 2025 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur semalam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mendedahkan bahawa hasil tindakan tegas kerajaan terhadap rasuah dan penyeludupan sejak dua tahun lalu telah menjana semula pendapatan negara berjumlah RM5 bilion, hasil rampasan dan pemulihan aset yang diperoleh secara tidak sah.
"Bayangkan, kalau setiap tahun kita kehilangan jumlah sebesar itu, berapa banyak yang telah lesap dalam sedekad? Ini menunjukkan kita terlalu lama bertolak ansur dengan budaya salah guna kuasa dan korupsi," katanya.
Dalam ucapannya, Anwar menekankan bahawa tadbir urus dan integriti mesti menjadi asas kepada pembangunan ekonomi berteraskan nilai Islam.
Beliau mengingatkan bahawa matlamat maqasid syariah hanya dapat dicapai jika sistem pentadbiran bebas daripada ketirisan dan amalan tidak beretika.
Berdasarkan kepada pengiktirafan global terhadap Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam, Anwar berkata penerbitan Sukuk Pelaburan Lestari dan Bertanggungjawab (SRI) berjumlah RM20 bilion pada tahun lalu membuktikan komitmen negara dalam menggerakkan modal ke arah impak sosial, hijau dan beretika.
"Dunia kini menilai modal bukan sekadar pada pulangan, tetapi pada kehidupan yang disentuh dan legasi yang ditinggalkan.
"Kewangan Islam mesti memimpin perubahan ini, dari keuntungan semata-mata kepada tujuan yang bermakna," ujar beliau.
Beliau turut menyeru pemain industri, ahli akademik dan penggubal dasar agar terus memperkukuh ekosistem kewangan Islam dengan menggabungkan nilai etika dan teknologi moden termasuk fintech, zakat digital dan waqaf pintar, bagi memastikan manfaat ekonomi sampai kepada masyarakat terbawah.
Anwar menegaskan, pendekatan ini seiring dengan gagasan Ekonomi MADANI, yang memberi tumpuan kepada keseimbangan antara kemajuan material dan kesejahteraan rakyat, sambil memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam yang stabil, berdaya tahan dan beretika.
"Dunia sedang mencari sistem kewangan yang bukan hanya memberi untung, tetapi membawa tujuan dan nilai. Malaysia mesti terus memimpin dengan keberanian dan kebijaksanaan," katanya lagi.









Comments