T'ganu bukan pengeluar utama minyak, tidak cukup tampung kegunaan domestik
- Apr 11
- 2 min read

Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu tampil menjelaskan fakta sebenar industri petroleum negeri itu bagi mengelakkan kekeliruan yang timbul akibat naratif politik pemimpin Pas negeri yang membayangkan puluhan telaga minyak di negeri itu boleh menyumbang dalam menurunkan harga minyak bagi kegunaan domestik.
Setiausahanya, Ahmad Nadhir Yob, berkata walaupun Terengganu merupakan antara negeri pengeluar minyak utama negara, tahap pengeluarannya tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan keperluan penggunaan tempatan.
Menurut beliau, operasi petroleum di negeri itu namun kebanyakan lapangan minyak telah memasuki fasa matang yang menyebabkan pengeluaran menurun secara semula jadi.
"Terengganu sememangnya merupakan antara negeri pengeluar minyak utama negara melalui operasi pelantar luar pesisir di Laut China Selatan.
"Namun, penting untuk difahami bahawa pengeluaran petroleum di Terengganu bukanlah yang terbesar di Malaysia, dan sebahagian besar lapangan minyak di negeri ini telah memasuki fasa matang dengan kadar pengeluaran yang semakin menurun," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, berdasarkan data industri, terdapat sekitar 40 hingga 50 pelantar minyak aktif utama di luar pesisir Terengganu yang telah beroperasi sejak beberapa dekad lalu.
Pengeluaran minyak negeri itu dianggarkan antara 75,000 hingga 120,000 tong sehari, jauh lebih rendah berbanding keperluan penggunaan petroleum negara yang mencecah kira-kira 700,000 tong sehari.
"Walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, negara masih perlu mengimport petroleum bagi menampung permintaan domestik," jelasnya.
Ahmad Nadhir juga menegaskan bahawa pengeluaran petroleum negara tidak bergantung kepada Terengganu semata-mata, sebaliknya turut melibatkan operasi di negeri lain seperti Sabah dan Sarawak yang menyumbang sebahagian besar pengeluaran.
Minyak mentah dari pelantar luar pesisir Terengganu, ujarnya, tidak digunakan secara langsung sebaliknya disalurkan melalui paip bawah laut ke pusat pemprosesan seperti Kerteh dan Paka sebelum ditapis dan diagihkan ke seluruh negara.
Selain itu, beliau turut menekankan bahawa sumber petroleum negara merupakan aset strategik nasional yang perlu diuruskan secara menyeluruh untuk kepentingan semua rakyat Malaysia.
"Penting untuk memahami bahawa sumber petroleum negara merupakan aset strategik nasional yang diagihkan untuk kepentingan seluruh rakyat Malaysia, bukan tertumpu kepada mana-mana negeri sahaja," katanya lagi.
Isu petroleum di Terengganu menjadi tular semalam apabila Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Azman Ibrahim mempertahankan kenyataan Presiden Pas, Hj Hadi Awang berhubung kenaikan harga minyak di negara ini tidak sepatutnya berlaku kerana Malaysia mempunyai produk minyak sendiri.
Beliau yang juga Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu berkata, di perairan negeri itu misalnya, terdapat kira-kira 120 buah pelantar minyak yang sedang beroperasi.
Menurutnya, minyak mentah dari pelantar itu akan disalur ke Loji Penapisan Minyak Petronas Kerteh sama ada melalui saluran paip dasar laut atau kapal tangki.
"Di Loji Kerteh ini minyak mentah diproses menjadi pelbagai produk petroleum untuk kegunaan negara kita.
"Kenapa nak tunggu kapal tangki lepas lalu Selat Hormuz baru nak turunkan harga minyak?
"Saya ulang! Minyak kita tak lalu Selat Hormuz!" katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.




Kenyataan dangkal... Macam Terengganu sahaja ada minyak. Negeri lain tak ada minyak kah?
Sepatutnya bukan sahaja Terengganu, patut disebut juga Sabah & Sarawak. Kenapa hanya petik Terengganu?
Betul. Tak cukup, dan Sabah sahaja pn tak cukup, Sarawak sahaja pun tak cukup juga. Secara kolektif baru lah cukup.
Tapi kenapa diesel di Sabah dan Sarawak dapat keistimewaan subsidi dan Terengganu tak dapat?