T'ganu bersama Pas: Anak muda leka media sosial, himpunan motosikal?
- Hasbul Ahmad

- 5 hours ago
- 2 min read

Politik identiti berasaskan agama dan bangsa masih berperanan dalam landskap politik Terengganu, dan terkini generasi muda dilihat mulai dipengaruhi budaya hiburan dan media sosial berbanding sentimen tradisional.
Ketua Penerangan KEADILAN Kemaman, Aimi Ali berkata, golongan muda hari ini tidak lagi memilih politik semata-mata atas faktor agama, sebaliknya turut tertarik kepada isu gaya hidup, hiburan dan fenomena media sosial seperti komuniti motosikal RXZ serta kandungan digital.
"Golongan muda tidak juga beri penekanan berlebihan kepada agenda agama. Sebahagian mereka turut dipengaruhi agenda hiburan dan media sosial seperti himpunan motosikal RXZ dan sebagainya," katanya kepada Suara Keadilan komen mengenai kecenderungan politik generasi muda di negeri itu.
Beliau berpandangan media sosial kini jauh lebih berpengaruh berbanding ceramah politik tradisional, terutama dalam kalangan anak muda yang aktif menggunakan TikTok, Facebook dan X sebagai medium mendapatkan maklumat politik.
"Dalam masa sama Pas masih bergantung kepada jaringan masjid dan surau bagi memperkukuh pengaruh politik di peringkat akar umbi," katanya.
Menyentuh isu penghijrahan anak muda keluar Terengganu, beliau berkata cabaran utama negeri itu ialah kekurangan peluang pekerjaan berkualiti dan kebergantungan terhadap sektor tertentu seperti minyak dan gas.
"Ramai anak muda memilih berhijrah ke negeri lain kerana peluang ekonomi di Terengganu dianggap semakin terhad," jelasnya.
Beliau juga menyifatkan program seperti Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah anjuran Pas-PN baru baru ini lebih tertumpu kepada kelompok pimpinan, penyokong tertentu dan golongan berusia berbanding berjaya menarik penyertaan besar golongan muda.
"Boleh kata tak ramai sangat anak muda tertarik atau sertai program ini," ujarnya.
Isu kebersihan, ekonomi, cukai pintu
Aimi yang juga Pengerusi Panel Penasihat NADI Parlimen Kemaman berkata, terdapat jurang antara imej negeri yang dipaparkan sebagai negeri beridentiti Islam dengan realiti ekonomi rakyat, sedangkan wujud isu kemerosotan ekonomi, kebersihan kawasan awam serta pelaksanaan cukai pintu yang bertentangan dengan manifesto pilihanraya Pas-PN dan menjadi antara rungutan rakyat ketika ini.
"Antara isu yang mula diperkatakan rakyat Terengganu ketika ini ialah pelaksanaan semula cukai pintu yang sebelum ini disentuh dalam manifesto Pilihan Raya Umum 15. Selain itu, tular juga video melibatkan titah dan teguran Raja Muda Terengganu melibatkan isu sampah terbiar dan kebersihan awam.
"Namun, walaupun pentadbiran negeri masih banyak kelemahan, Dr Samsuri (MB Terengganu) tetap mendapat sokongan kepimpinan atasan (Pas) kerana nampakmya belum ada tokoh lain," katanya lagi.
Lebih mendukacitakan menurut Aimi, sikap segelintir penyokong politik cenderung mempertahankan pimpinan sendiri walaupun timbul pelbagai isu dan prestasi melibatkan pentadbiran negeri.
"Golongan ini tidak akan bising jika melibatkan pimpinan mereka sendiri. Yang sering menjadi sasaran hanyalah PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim).
"Sedangkan apa sahaja bantuan atau inisiatif diberikan kerajaan Persekutuan tetap mereka terima tanpa sedikit menghargai atau mengucapkan terima kasih," katanya.
Mengulas isu “perpaduan ummah” yang kembali diperdebatkan di media sosial, beliau menyifatkan naratif tersebut masih relevan khususnya dalam kalangan penyokong Pas dan UMNO di Pantai Timur kerana sentimen terhadap DAP terus dimainkan bagi menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengundi muda Melayu.
Namun menjelang PRU16, Aimi berharap rakyat Terengganu khususnya generasi muda akan menjadi lebih kritikal dan tidak terlalu taksub kepada mana-mana parti politik.




Comments