Bersatu pecat, gantung pemimpin: Kekuatan PN peringkat nasional tergugat?
- Suara Keadilan

- 5 hours ago
- 2 min read

Tindakan penggantungan beberapa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru baru ini dilihat berpotensi mengubah dinamika Perikatan Nasional (PN) di peringkat nasional, meskipun kesannya di negeri tertentu dijangka terhad.
Aktivis politik Terengganu, Awang Muda berkata, perkembangan itu mungkin tidak menjejaskan kekuatan Pas di negeri seperti Terengganu dan Kelantan yang mempunyai sokongan kukuh, bagaimanapun situasi agak berbeza di negeri Pantai Barat.
"Tindakan penggantungan beberapa pemimpin Bersatu dilihat mungkin tidak memberi kesan besar terhadap kekuatan Pas di negeri-negeri yang sudah memiliki tapak politik kukuh seperti Terengganu dan Kelantan, namun perkembangan itu dipercayai mampu mempengaruhi kestabilan PN di peringkat nasional," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, Pas ketika ini memiliki jentera akar umbi tersusun serta pengaruh tersendiri dalam kalangan pengundi Melayu, membolehkan parti itu terus bertahan walaupun berlaku pergolakan dalam kalangan rakan komponennya.
Namun kata beliau, situasi di peringkat pusat berbeza kerana Bersatu masih memainkan peranan penting dalam membentuk imej serta keseimbangan kuasa dalam gabungan berkenaan.
"Sebarang konflik dalaman melibatkan Bersatu boleh memberi kesan terhadap keyakinan penyokong PN, khususnya dalam usaha gabungan itu menampilkan imej stabil dan bersedia menjadi alternatif kerajaan," jelasnya.
Beliau turut berpandangan krisis dalaman yang berpanjangan gabungan PN berpotensi membuka ruang kepada perubahan kesetiaan politik dalam kalangan pemimpin dan penyokongnya.
Pada masa sama, ujar beliau, hubungan antara Pas dan Bersatu berkemungkinan berubah kepada bentuk kerjasama yang lebih longgar, dengan Pas dijangka tampil lebih dominan berdasarkan kekuatan semasa.
"Keadaan tersebut sekali gus boleh mengubah struktur dalaman PN menjelang pilihanraya akan datang," tegasnya.
Walaupun pimpinan PN sebelum ini memberi bayangan bahawa hubungan antara parti komponen kekal kukuh, Awang menegaskan perkembangan semasa tetap perlu diberi perhatian kerana melibatkan soal kepimpinan, hala tuju gabungan serta persepsi rakyat.
"Situasi ini akan menjadi ujian penting buat PN dalam memastikan sebarang perbezaan dalaman tidak menjejaskan persediaan mereka menghadapi cabaran politik nasional yang semakin kompetitif," katanya lagi.
Kelmarin berdasarkan laporan media, Lembaga Disiplin Bersatu telah memecat dua ADUN daripada parti itu, manakala tujuh lagi wakil rakyatnya digantung keahlian selama dua penggal pemilihan, berkuat kuasa serta-merta.
Dua ADUN yang dipecat merupakan wakil rakyat dari Kedah membabitkan Abdul Razak Khamis (DUN Sungai Tiang) yang merupakan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, dan Dzowahir Ab Ghani (DUN Suka Menanti) yang juga Ketua Bersatu Bahagian Alor Setar.
Tujuh wakil rakyat yang digantung keahlian termasuk lima Ahli Parlimen, iaitu Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Khalib Abdullah (Rompin), Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh).
Turut digantung ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain yang juga Ketua ARMADA Bahagian Padang Rengas, dan ADUN Kuala Sepetang, Ahmad Man.




Comments