top of page

Syarikat kecil: Kerajaan lulus kuota diesel bersubsidi 300 liter sebulan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 19
  • 1 min read

Kerajaan MADANI meluluskan pemberian kuota diesel bersubsidi sebanyak 300 liter sebulan kepada syarikat kecil dan kontraktor tempatan di Malaysia Timur.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pemberian itu sebagai langkah meringankan kos operasi golongan tersebut susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan.


"Golongan ini menggunakan kenderaan diesel bagi mengendalikan perniagaan kecil masing-masing, justeru kerajaan mengambil langkah intervensi bagi memastikan mereka turut menerima manfaat daripada penyasaran subsidi," katanya dipetik laporan media.


Armizan menjelaskan, kemudahan tersebut melibatkan kenderaan diesel yang didaftarkan atas nama syarikat milikan tunggal atau perkongsian di seluruh negara dan digunakan bagi tujuan perniagaan.


Kumpulan berkenaan tidak termasuk dalam dua sektor yang layak di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), iaitu pengangkutan awam serta pengangkutan barangan atau keperluan pengguna, walaupun mereka bergantung kepada kenderaan diesel untuk menjalankan operasi perniagaan harian.


Sementara itu sebagai mengulas penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan yang bermula 1 Julai lalu, Armizan berkata Kerajaan Persekutuan akan terus menambah baik mekanisme sedia ada agar pelaksanaannya lebih berkesan dan bersasar.


Bagi memastikan penduduk di kawasan pedalaman tidak tercicir, agensi kerajaan di peringkat negeri akan digerakkan bagi membantu proses pendaftaran dan pengesahan kumpulan sasar yang layak menerima subsidi.


"Pendekatan itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan negara, malah terus melindungi golongan yang benar-benar memerlukan serta menyokong kelangsungan perniagaan kecil di seluruh negara," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page