top of page

Sumbangan lembu korban Pengerusi MPN T'ganu dihargai penduduk Pulau Duyung Kecil

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 5 hours ago
  • 1 min read
Penduduk kampung bergotong royong menyembelih dan melapah lembu korban
Penduduk kampung bergotong royong menyembelih dan melapah lembu korban

Masyarakat Kampung Pulau Duyung Kecil, Kuala Nerus, Terengganu menganjurkan Majlis Ibadah Korban sempena Aidiladha 1447 Hijrah semalam dalam suasana penuh harmoni, ukhuwah dan semangat kebersamaan.


Program yang berlangsung sekitar jam 10.00 pagi itu menghimpunkan pelbagai lapisan penduduk termasuk golongan belia, warga emas serta anak-anak muda yang bersama-sama berganding bahu menjayakan ibadah korban secara gotong-royong.


Menurut kenyataan Penerangan Cabang KEADILAN Kuala Nerus, majlis tersebut bukan sahaja menjadi platform pelaksanaan ibadah malah mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.


Lebih bermakna, sumbangan lembu korban telah dihulurkan oleh Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Terengganu merangkap Ketua Cabang KEADILAN Kuala Nerus, Dr Zainuddin Awang @ Omar.


"Bagi masyarakat Pulau Duyung Kecil, sumbangan ini bukan sekadar seekor lembu korban, tetapi lambang kasih sayang, keikhlasan dan ingatan seorang pemimpin terhadap rakyat di akar umbi," kata kenyataan itu.


Tambah kenyataan tersebut, kehadiran dan keprihatinan beliau turut mencipta sejarah tersendiri apabila kali pertama seorang Pengerusi MPN Terengganu tampil menyumbang secara langsung kepada penduduk kampung berkenaan.


"Masyarakat di sini sebelum ini merasakan kurang diberi perhatian namun kehadiran serta keprihatinan Dr Zainuddin Awang @ Omar telah membuka lembaran baharu yang memberi sinar harapan, kegembiraan dan rasa dihargai kepada seluruh penduduk kampung," jelas kenyataan itu.


Sepanjang program, suasana penuh mesra, kerjasama dan saling membantu jelas terpancar, sekali gus memperlihatkan nilai perpaduan yang masih kukuh dalam komuniti tersebut.


Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua penduduk, sukarelawan dan golongan muda yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan majlis berkenaan.


"Semoga segala amal kebajikan, keikhlasan serta sumbangan yang diberikan mendapat ganjaran pahala berlipat kali ganda dan diberkati Allah SWT," menurut kenyataan itu lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page