Sultan Selangor zahir sukacita beberapa pencapaian, inisiatif Kerajaan Negeri
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj memuji dan menzahirkan rasa sukacita atas usaha yang dilaksana Kerajaan Selangor dalam menarik pelaburan ke negeri itu.
Bersempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Dewan Negeri Selangor ke-15 yang berlangsung di Dewan Negeri Selangor (DNS) semalam, Baginda bertitah telah menerima maklum aktiviti ekonomi di Selangor mencatatkan pelaburan RM83.9 bilion.
Jumlah tersebut melebihi sasaran RM65 bilion dengan peningkatan sebanyak RM18.9 bilion pada tahun lalu.
"Beta gembira melihat bahawa lebih separuh daripada jumlah pelaburan di Selangor pada tahun lalu datang daripada pelabur tempatan, iaitu bernilai RM48.9 bilion bersamaan 58.3 peratus.
"Oleh itu, Beta berharap terdapat usaha baharu untuk merancakkan lagi aktiviti sektor perkilangan yang mampu menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat Beta," titah Baginda.
Sementara itu, Baginda Sultan turut menzahirkan keyakinan terdapat potensi besar untuk memperluaskan sektor perkilangan dan pembuatan yang kini menyumbang 21.6 peratus kepada ekonomi negeri, khususnya melalui pelaburan baharu dalam bidang berteknologi tinggi.
Justeru Baginda menegaskan, inisiatif Speed Selangor perlu dipertingkatkan bagi memudahkan urusan perniagaan sekali gus mampu mengoptimumkan pelabur ke Selangor.
Menerusi titah sama Baginda turut menyokong langkah Kerajaan Negeri meningkatkan fokus pendidikan generasi muda, termasuk intervensi awal dalam literasi dan numerasi, serta penekanan terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Baginda menzahirkan bahawa peruntukan pendidikan berjumlah RM136.21 juta disalur Kerajaan Negeri sebagai langkah tepat membentuk generasi muda Selangor yang berwawasan serta berdaya saing.
Turut berangkat pada Istiadat tersebut ialah DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.




Comments