top of page

Subsidi petrol BUDI95: KPDN tetapkan mekanisme tiga kaedah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 8
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini menjelaskan mekanisme pelaksanaan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) bagi memastikan penyaluran petrol RON95 bersubsidi hanya disalurkan kepada pihak yang benar-benar layak.


Timbalan Menterinya, Senator Datuk Dr Fuziah Salleh (gambar) berkata, mekanisme pertama melibatkan penetapan kateogri kenderaan khususnya pengangkutan awam dan kenderaan barangan yang layak menerima subsidi petrol RON95.


"Sebanyak sembilan jenis kenderaan darat awam dan 12 jenis kenderaan darat barangan serta bot penumpang telah disenaraikan sebagai kenderaan yang layak untuk menerima subsidi petrol RON95.


''Kaedah kedua pula menetapkan kriteria syarikat yang layak memohon di bawah SKPS, iaitu syarikat mestilah berdaftar di Malaysia, memiliki kenderaan atas nama syarikat sendiri dengan cukai jalan yang sah, serta kenderaan tersebut tersenarai dalam kategori yang layak menerima subsidi petrol RON95.


''Kaedah ketiga pula adalah berdasarkan penetapan kuota, di mana setiap kenderaan yang layak, kuota yang ditetapkan mengambil kira purata penggunaan bahan api kenderaan terbabit,'' katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau menjawab pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang ingin mengetahui sistem yang diguna pakai di stesen minyak seluruh negara dan langkah yang diambil dalam melengkapkan perkhidmatan di stesen minyak selaras langkah kerajaan melaksanakan subsidi bersasar petrol RON95 serta kos-kos terlibat.


Menjelaskan lebih lanjut, Dr Fuziah yang juga Setiausaha Agung KEADILAN berkata, mekanisme keempat adalah menggunakan fleet card sebagai kaedah pembelian petrol RON95 bersubsidi.


Jelas beliau, penggunaan fleet card membolehkan setiap transaksi pembelian direkodkan secara digital dan dipantau.


''Pemantauan secara digital ini dapat mengekang sebarang transaksi yang meragukan, seperti pembelian berulang dalam sela masa yang tidak wajar atau pembelian dalam jumlah yang tidak munasabah.


''Manakala kaedah kelima melibatkan analisis transaksi pembelian petrol RON95 bersubsidi melalui fleet card oleh sistem analitik data yang akan dibangunkan oleh KPDN.


''Analisis data ini berupaya memproses maklumat dalam jumlah yang besar, kompleks dan pelbagai bagi mengenal pasti corak, trend serta maklumat penting untuk membantu proses penguatkuasaan, risikan dan siasatan dengan lebih berkesan,'' ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page