top of page

Subsidi diesel: Kerajaan ambil langkah terbaik elak kenaikan harga

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • Mar 17
  • 2 min read

Cabang KEADILAN Kota Melaka menegaskan langkah kerajaan mengurus subsidi diesel secara bersasar adalah pendekatan yang bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara tanpa menjejaskan kestabilan ekonomi negara.


Ketuanya, Yusof Ahmad berkata, Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim telah beberapa kali memaklumkan kepada rakyat mengenai usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam menangani pelbagai cabaran semasa termasuk isu bekalan minyak, pengurusan subsidi bahan api serta kestabilan ekonomi negara.


Katanya, meskipun dunia sedang berhadapan dengan ketidaktentuan kitaran ekonomi global dan konflik peperangan yang sedang berlaku di Asia Barat, namun semua langkah itu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab demi memastikan kesejahteraan dan keharmonian rakyat Malaysia terus terpelihara.


"Sehubungan itu, Cabang Kota Melaka dengan tegas menyatakan sokongan penuh kepada Kerajaan MADANI di bawah pimpinan PM Anwar dan barisan kepimpinan kerajaan.


"Sokongan ini dizahirkan melalui komitmen untuk terus berdiri teguh bersama kerajaan dalam memastikan setiap dasar, inisiatif dan usaha yang dilaksanakan dapat digerakkan, diperkukuhkan dan disokong demi kepentingan rakyat Malaysia secara keseluruhan," katanya dalam satu kenyataan.


Yusof Ahmad
Yusof Ahmad

Pada masa yang sama, Yusof menegaskan pihaknya menolak kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, yang mendakwa bahawa kenaikan harga diesel sebanyak RM0.80 kepada pengguna yang tidak layak menikmati subsidi bahan api akan menyebabkan harga barangan melambung serta menjejaskan sambutan Aidilfitri.


Katanya, kenyataan tersebut tidak berasas dan berpotensi menimbulkan kebimbangan serta keresahan dalam kalangan rakyat.


"Hakikatnya, Kerajaan MADANI telah mengambil langkah proaktif dengan memastikan subsidi diesel terus dikekalkan bagi sektor-sektor penting seperti nelayan, pengangkutan awam dan logistik, selain mengekalkan pelaksanaan subsidi di negeri Sabah dan Sarawak.


"Selain itu, melalui inisiatif Budi MADANI, bantuan kepada pengguna diesel individu di Semenanjung turut ditambah sebanyak RM100, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM300 sebulan.


"Langkah ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara di samping menguruskan subsidi bahan api secara lebih bersasar, telus dan berhemah," ujarnya lagi.


Dalam kenyataan sama, Yusof terus menzahirkan komitmen untuk berdiri teguh bersama Kerajaan MADANI dalam memastikan segala usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan dapat diteruskan demi menjaga kebajikan rakyat serta mengekalkan kestabilan negara dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page