Subsidi bahan api perlu berasaskan keperluan rakyat - KEADILAN Sabah
- Suara Keadilan

- 59 minutes ago
- 2 min read

KEADILAN Sabah menyambut baik kesediaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus menilai keperluan subsidi bahan api yang berbeza bagi Sabah dan Sarawak, selaras dengan realiti geografi serta sosioekonomi kedua-dua wilayah berkenaan.
Ketua Penerangan KEADILAN Sabah, Ahmad Farid Sainuri berkata, pendekatan Ekonomi Berasaskan Keperluan (Needs-Based Economy) perlu dijadikan asas dalam menentukan kuota subsidi bahan api bagi rakyat Sabah.
"Kesediaan ini penting kerana Sabah mempunyai realiti geografi dan sosioekonomi yang berbeza, termasuk jarak perjalanan yang jauh, pengangkutan awam yang terhad serta kebergantungan rakyat luar bandar dan pedalaman kepada kenderaan untuk bekerja, mengurus keluarga dan menjalankan aktiviti ekonomi," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, KEADILAN Sabah turut menyambut baik penegasan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bahawa pelaksanaan BUDI Diesel akan terus dipantau dan ditambah baik berdasarkan maklum balas rakyat.
Katanya, penambahbaikan termasuk kemudahan tambahan kuota serta pemindahan kelayakan kepada ahli keluarga terdekat menunjukkan kerajaan bersedia menyesuaikan mekanisme subsidi supaya manfaatnya benar-benar sampai kepada pengguna yang layak.
"Selaras dengan pendekatan Needs-Based Economy atau Ekonomi Berasaskan Keperluan yang ditegaskan Pengerusi MPN KEADILAN Sabah, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, kami mencadangkan kuota subsidi diesel dan petrol bagi rakyat Sabah dinilai semula dan ditingkatkan berdasarkan keperluan sebenar, bukannya menggunakan pendekatan one-size-fits-all," katanya.
Ahmad Farid turut mencadangkan supaya mekanisme BUDI Diesel dipermudahkan dan, sedapat mungkin, diselaraskan dengan BUDI MADANI Petrol.
Menurutnya, kelayakan sepatutnya disesuaikan dengan realiti tempatan kerana banyak rakyat Sabah menggunakan kenderaan atas nama orang lain yang sukar untuk mendapat subsidi beradaskan MyKad.
"Ramai rakyat Sabah menggunakan kenderaan yang dipinjam, dikongsi dalam keluarga atau didaftarkan atas nama ahli keluarga lain. Justeru, subsidi sewajarnya mengikuti individu yang layak dan memerlukan, bukan semata-mata pemilikan kenderaan," katanya.
Beliau berkata, data kira-kira 120,000 pemilik pikap dan jip di Sabah yang dikenal pasti layak memohon kuota diesel melebihi 300 liter, tetapi hanya sekitar 49,000 telah membuat permohonan, menunjukkan masih terdapat ruang untuk mempermudah proses dan syarat permohonan.
"Naikkan kuota berdasarkan keperluan, mudahkan proses dan pastikan subsidi sampai kepada rakyat yang memerlukan. Inilah semangat Ekonomi Berasaskan Keperluan yang harus menjadi asas pelaksanaan subsidi bahan api di Sabah," katanya.
Ahmad Farid menegaskan KEADILAN Sabah menyokong pelaksanaan subsidi bersasar bagi mengelakkan ketirisan, namun mekanisme yang terlalu rumit tidak seharusnya menyebabkan rakyat yang benar-benar layak tercicir.
"Kita menyokong subsidi bersasar bagi mengelakkan ketirisan, namun pelaksanaannya jangan terlalu rumit sehingga rakyat yang benar-benar layak tercicir," katanya.




Comments