SU Pertahanan AS anggap Islam sebagai musuh, Duta AS perlu keluar - AMANAH
- Helmi Mohd Foad

- 3 hours ago
- 2 min read

Duta Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur dianggap tidak layak berada di Malaysia susulan kenyataan biadab Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth yang dilapor mengisytiharkan Islam sebagai musuh tanpa mengira mereka daripada kelompok Ahli Sunnah atau Syiah.
Pengarah Biro Mobilisasi AMANAH, Abbas Azmi (gambar) berkata negara kuasa besar tersebut sepatutnya menghormati sensitiviti masyarakat Malaysia yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi.
"Kami hidup dengan aman, tidak seperti di negara anda. Kami mempunyai kerajaan yang stabil, tidak seperti anda.
"Kami saling menghormati antara satu sama lain, tidak seperti pemimpin anda yang masih menjunjung supremasi kulit putih," katanya dalam kenyataan.
Ketika ini Kedutaan AS di Kuala Lumpur diketuai diplomat David Gamble sebagai Charge deAffaires selepas Duta Edgard D. Kagan menamatkan khidmatnya pada Februari lalu.
Hegseth baru-baru ini menerima kritikan hebat kerana enggan membezakan antara dua cabang utama Islam, Sunni dan Syiah dan menggambarkan kedua-duanya sebagai “musuh” bersatu Amerika Syarikat.
"Sama ada Sunni atau Syiah, musuh kami ialah Islam": Demikian kata beliau satu taklimat media pada Mac 2026 yang secara jelas menyatakan Amerika Syarikat tidak lagi akan membezakan antara mazhab-mazhab tersebut.
Pete Hegseth mempunyai tatu Jerusalem Cross iaitu simbol keagamaan yang dikaitkan dengan Perang Salib menyebabkan beliau dilabel sebagai ekstremis dan tidak dijemput untuk menyertai unitnya dalam tugas sempena pelantikan Presiden Joe Biden pada 2021.
Imej tersebut berakar daripada era Perang Salib, ketika orang Kristian Eropah cuba merampas kembali Tanah Suci daripada umat Islam.
Abbas berkata, Duta AS di Malaysia tidak layak untuk terus berada di negara ini dan wajar untuk kembali ke tanah airnya.
"Lapangan terbang kami masih dibuka untuk anda pulang ke negara anda dengan segera. Lapangan terbang kami tidak seperti yang telah berjaya dibom oleh angkatan tentera Republik Islam Iran ketika ini," tegasnya.
Abbas berkata umat Islam di seluruh dunia berkongsi perasaan sama terhadap kerajaan pimpinan Donald Trump yang bukan lagi sebuah kerajaan yang kuat.
"Kerajaan anda tewas di Vietnam, kerajaan anda gagal di Palestin dan sehingga hari ini tidak berjaya menaklukinya.
"Kerajaan anda juga gagal mengawal negara sendiri dalam keadaan ketidakstabilan ekonomi, termasuk kejatuhan nilai dolar," ujarnya lagi.




Comments