top of page

Strategi program kelompok, kempen rumah ke rumah beri impak positif

  • Writer: Hasbul Ahmad
    Hasbul Ahmad
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Strategi kempen melalui program kelompok dan pendekatan rumah ke rumah yang dilaksanakan Pakatan Harapan (PH) sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan terbukti memberi impak positif di banyak kawasan, meskipun gabungan itu gagal mempertahankan pentadbiran negeri.


Pengarah Pilihan Raya Harapan bagi PRN Negeri Sembilan, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar, kanan) berkata, pendekatan berkenaan akan terus dikekalkan pada pilihanraya akan datang dengan penambahbaikan terhadap kemampuan serta kemahiran jentera di peringkat lokaliti.


Beliau berkata, setiap pilihanraya mempunyai situasi dan cabaran berbeza, justeru strategi kempen perlu disesuaikan mengikut keperluan kawasan serta corak pengundi setempat.


"Pakatan Harapan kali ini menumpukan kepada program rumah ke rumah dan program kelompok. Di sebahagian tempat ia sangat efektif dan mungkin pendekatan itu akan kita kekalkan.


"Cuma apa yang perlu kita perbaiki ialah kemampuan dan kemahiran jentera di peringkat lokaliti. Di situlah masih terdapat jurang yang perlu kita tangani menjelang pilihan raya akan datang," katanya pada sidang media PH selepas keputusan PRN Negeri Sembilan di sini, malam tadi.


Amiruddin turut mengakui bekas Menteri Besar, Datuk Aminuddin Harun berjaya membina jentera PH Negeri Sembilan yang mantap, namun perlu diperbaiki bagi menghadapi pilihanraya akan datang.


Beliau berkata, walaupun keputusan kali ini tidak memihak kepada PH, gabungan itu tidak melihat kekalahan tersebut berpunca daripada prestasi pentadbiran, sebaliknya dipengaruhi pelbagai mesej politik yang dimainkan sepanjang tempoh kempen.


"Kita tidak kalah dari segi prestasi, tetapi kita masih belum berjaya menembusi semua kelompok pengundi merentasi komuniti dan kaum kerana pelbagai mesej politik yang tersebar sepanjang kempen.


"Kita sudah menggunakan semua saluran yang ada dan mungkin selepas ini kita perlu memperbaiki lagi pendekatan komunikasi politik," katanya.


Menurutnya, situasi di Negeri Sembilan juga berbeza berbanding Johor kerana Harapan masih memperoleh sokongan undi yang besar dan corak keputusan kali ini mengingatkan beliau kepada keadaan pada Pilihan Raya Umum 2008 sebelum gabungan itu berjaya membentuk kerajaan pada 2018.


"Saya melihat situasi ini hampir sama seperti tahun 2008 dan akhirnya pada 2018 kita berjaya memenangi pilihan raya. Perjuangan ini belum berakhir dan kita akan terus berusaha," katanya.


Dalam pada itu, Amiruddin menegaskan Datuk Aminuddin Harun dan Anthony Loke akan terus memainkan peranan penting dalam kepimpinan Harapan di peringkat negeri serta Persekutuan walaupun keputusan PRN menyaksikan perubahan pentadbiran negeri.


Beliau berkata, Aminuddin yang juga Naib Presiden KEADILAN serta Anthony Loke yang masing-masing kekal sebagai Ahli Parlimen Rasah dan Port Dickson masih mempunyai tanggungjawab besar dalam memperkukuhkan Harapan.


"Datuk Seri Aminuddin dan saudara Anthony masih Ahli Parlimen Port Dickson dan Rasah . Datuk Seri Aminuddin juga masih Naib Presiden KEADILAN. Sudah tentu mereka berdua akan terus berfungsi dengan baik sebagai pemimpin utama dalam Pakatan Harapan.


"Kedua-duanya masih mempunyai peranan sebagai Ahli Parlimen dan masih boleh menyumbang demi kepentingan Negeri Sembilan serta Pakatan Harapan secara keseluruhan," katanya.


Mengulas mengenai sebarang perubahan kepimpinan, Amiruddin berkata perkara itu bukan di bawah bidang kuasanya untuk diputuskan, sebaliknya bergantung kepada Presiden parti dan Pengerusi Pakatan Harapan.


Beliau turut menegaskan Harapan akan terus bergerak secara kolektif sebagai satu pasukan dalam menghadapi apa juga cabaran selepas ini.


"Kita bertindak sebagai satu pasukan. Kita menang sebagai satu pasukan dan kita juga berdepan apa juga kekalahan sebagai satu pasukan. Perjuangan diteruskan sehingga berjaya," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page