top of page

Wanita Pesiangan diperkasa melalui bengkel kecantikan, refleksologi

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
2 min read
Datin Rufinah (berdiri) menyaksikan wanita diberi latihan di bengkel kecantikan dan refleksologi
Datin Rufinah (berdiri) menyaksikan wanita diberi latihan di bengkel kecantikan dan refleksologi

Usaha memperkasa wanita melalui latihan kemahiran terus diperluaskan ke kawasan pedalaman Sabah menerusi penganjuran Bengkel Kecantikan Makeup & Foot Reflexology di Kampung Pagalungan Ansip, Pensiangan.


Program anjuran Exco Wanita KEADILAN Malaysia dengan kerjasama KEADILAN Cabang Pensiangan itu dilaksanakan mewakili Ketua Wanita KEADILAN Malaysia, Datuk Seri Fadhlina Sidek, sebagai sebahagian usaha menyantuni komuniti wanita, khususnya golongan wanita di kawasan pedalaman Sabah.


Program berkenaan memberi pendedahan kepada peserta dalam kemahiran asas solekan dan refleksologi kaki yang boleh dimanfaatkan bukan sahaja untuk kegunaan sendiri, malah berpotensi dikembangkan sebagai kemahiran tambahan bagi membantu menjana pendapatan keluarga.


Exco Wanita KEADILAN Malaysia, Junaidah Makku @ Junn, berkata program berasaskan kemahiran perlu terus dibawa ke kawasan luar bandar dan pedalaman supaya wanita akar umbi turut mendapat akses kepada peluang pembelajaran, pembangunan diri dan peningkatan ekonomi.


"Pemerkasaan wanita bukan hanya mengenai kepimpinan. Kita perlu turun ke lapangan, mendekati mereka dan membawa ilmu serta kemahiran praktikal yang boleh dimanfaatkan secara langsung dalam kehidupan.

Jun (vest merah) mencuba urut refleksologi
Jun (vest merah) mencuba urut refleksologi

"Walaupun bermula dengan kemahiran asas, ia boleh menjadi titik permulaan kepada seseorang wanita untuk membina keyakinan, menawarkan perkhidmatan secara kecil-kecilan dan seterusnya membantu menambah pendapatan keluarga," katanya.


Junaidah turut merakamkan penghargaan kepada Naib Ketua Wanita KEADILAN Malaysia merangkap Ketua Wanita KEADILAN Sabah, Datin Rufinah Pengeran atas usaha menghimpunkan wanita di kawasan berkenaan serta sumbangan dana khusus bagi membantu menjayakan penganjuran program tersebut.


"Terima kasih kepada Datin Rufinah atas sokongan dan dana khusus yang diberikan untuk penganjuran program ini. Sokongan seperti inilah yang membolehkan kita membawa program secara langsung kepada wanita di kawasan pedalaman.


"Apabila peluang dan sumber dibawa lebih dekat kepada mereka, wanita pedalaman juga mampu membina kemahiran, keyakinan dan seterusnya meningkatkan keupayaan ekonomi keluarga," katanya.


Program tersebut dirasmikan oleh Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah merangkap Ketua Cabang KEADILAN Keningau, Datuk Dr Sangkar Rasam.


Menurut Junaidah, sambutan dan kesungguhan peserta membuktikan bahawa wanita di kawasan pedalaman mempunyai keinginan tinggi untuk mempelajari kemahiran baharu sekiranya peluang dan latihan dibawa lebih dekat kepada mereka.


"Yang paling membanggakan ialah semangat peserta. Mereka mahu belajar, mahu meningkatkan keupayaan diri dan mahu mencuba sesuatu yang baharu. Tanggungjawab kita adalah memastikan peluang seperti ini tidak hanya tertumpu di kawasan bandar.


"Saya membawa program ini mewakili Datuk Seri Fadhlina Sidek untuk menyantuni komuniti wanita pedalaman Sabah. Kita mahu mereka merasakan bahawa keberadaan mereka dihargai, suara mereka didengari dan mereka juga berhak mendapat akses kepada peluang untuk maju.


"Kita mahu lebih ramai wanita mempunyai kemahiran yang boleh menjadi sumber kekuatan ekonomi mereka sendiri dan keluarga. Apabila wanita diperkasa, keluarga dan komuniti turut mendapat manfaat," katanya.


Bengkel berkenaan dikendalikan oleh tenaga pengajar berpengalaman, Jennifer Mutang, yang memberikan latihan dan bimbingan praktikal kepada peserta dalam bidang kecantikan serta refleksologi kaki.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page