Penyelidik disaran jalin kerjasama telco perkukuh dana R&D - Fahmi


Para penyelidik dan institusi pengajian tinggi digesa memperluas kerjasama strategik dengan syarikat telekomunikasi tempatan bagi mendapatkan sumber pembiayaan untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata syarikat telekomunikasi mempunyai peruntukan khusus untuk R&D dan bersedia menyokong penyelidikan, khususnya dalam bidang berkaitan penyelesaian ketersambungan serta teknologi.
Menurut beliau, peluang pembiayaan daripada industri perlu dimanfaatkan oleh penyelidik selain bergantung kepada permohonan dana daripada Kementerian Komunikasi.
Beliau berkata syarikat telekomunikasi mempunyai kepentingan untuk mendekati komuniti penyelidikan dan institusi pengajian tinggi kerana pelajar serta penyelidik merupakan antara pengguna semasa dan bakal pengguna perkhidmatan telekomunikasi.
"Usah hanya memohon daripada Kementerian Komunikasi, dan mohonlah daripada syarikat telekomunikasi," katanya.
Fahmi berkata demikian ketika sesi pleno Merangka Laluan Malaysia Menuju 2030: Penyelidikan, Inovasi dan Pelaburan Pembangunan Negara sempena Sidang Kemuncak Pelaburan Penyelidikan dan Inovasi Universiti (URIIS 2026) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, semalam.




Comments