Strategi 'penyelarasan sementara' kerajaan tangani krisis tenaga global tepat
- Redzuan Shamsudin

- 4 days ago
- 2 min read

Langkah penyelarasan sementara berkaitan minyak yang dilaksanakan kerajaan dalam menghadapi ketidaktentuan global disifatkan sebagai pendekatan proaktif dan seimbang bagi memastikan kestabilan ekonomi serta kebajikan rakyat terus terpelihara.
Ahli Dewan Negeri Kajang, David Cheong berkata, krisis tenaga global akibat konflik berpanjangan di Asia Barat kini memberi tekanan besar kepada ekonomi dunia termasuk Malaysia dan hal itu tidak boleh dipandang remeh.
"Krisis tenaga global yang tercetus susulan konflik berpanjangan di Asia Barat kini memberi kesan langsung kepada kestabilan ekonomi dunia, termasuk Malaysia. Lonjakan subsidi bahan api daripada RM3.2 bilion kepada RM4 bilion sebulan jelas menunjukkan tekanan besar yang sedang ditanggung negara," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, keputusan kerajaan mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter dengan pelarasan had penggunaan daripada 300 liter kepada 200 liter per individu adalah langkah bertanggungjawab yang melindungi majoriti rakyat.
"Langkah ini bukan sahaja melindungi hampir 90 peratus rakyat daripada kesan kenaikan kos, malah memastikan bekalan tenaga kekal stabil dalam situasi global yang tidak menentu," katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu turut menyokong sektor penting seperti pertanian dan komoditi agar terus beroperasi secara stabil.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan had khas bagi sektor e-hailing serta kawalan sementara pengisian diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan sektor ekonomi utama.
"Keputusan mengekalkan had khas bagi sektor e-hailing serta pelaksanaan sementara kawalan pengisian diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan memperlihatkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan sektor ekonomi utama, tanpa mengabaikan usaha mengekang ketirisan subsidi sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan," katanya yang juga Pengerusi Biro Perpaduan KEADILAN Selangor.
Tambahnya, penguatkuasaan yang dipertingkatkan juga penting bagi memastikan subsidi sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Mengulas lanjut, beliau berkata kestabilan ekonomi berkait rapat dengan keamanan negara dan perpaduan rakyat menjadi benteng utama dalam menghadapi cabaran global.
"Dalam suasana global yang tidak menentu, perpaduan rakyat menjadi benteng utama. Sikap bertanggungjawab rakyat yang melaporkan penyelewengan membuktikan semangat kebersamaan masih kukuh," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia agar terus berdisiplin dan berhemah dalam penggunaan sumber, sambil menegaskan bahawa langkah-langkah yang diambil adalah bersifat sementara dan akan kembali seperti sedia kala sebaik sahaja perang di Timur Tengah berakhir.
"Langkah-langkah ini bukanlah bersifat kekal, tetapi merupakan ikhtiar bersama untuk memastikan negara kekal stabil, aman dan berdaya tahan sepanjang tempoh krisis," katanya.



Comments