top of page

Stok simpanan beras Selangor cukup untuk kecemasan 3 bulan - MB

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor terus berusaha memperkukuh keterjaminan makanan di negeri itu susulan krisis bekalan tenaga global.


Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shari berkata, Gudang Makanan Selangor (GMS) kini memiliki kira-kira 8,000 tan simpanan beras sebagai stok penimbal.


Bekalan tersebut jelasnya dijangka mampu memenuhi sekitar 15 hingga 20 peratus keperluan semasa penduduk bagi tempoh sehingga tiga bulan.


"Setiap tahun selepas lancarkan GMS, kita tambah lagi stok simpanan makanan. Selain itu, ketika ini Kerajaan Persekutuan turut mempunyai 290,000 tan beras yang disimpan pengeluar dan penyimpan beras.


"Kira tak hadkan makanan asas semata tetapi turut menyimpan sumber protein antaranya daging dan ikan yang kita kumpulkan sejak 2024. Harapan kita untuk miliki stok penimbal berdaya tahan antara tiga ke enam bulan," katanya dipetik laporan media.


Amiruddin berkata begitu pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pada Khamis.


Sementara itu tambahnya, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) giat mencari alternatif bagi memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi termasuk memajak beberapa lot padi.


"Simpanan kita tidak boleh disimpan terlalu lama kerana akan rosak. Jadi kita akan tawar di Jualan Ehsan Rahmah atau Ehsan Mart sebelum rosak. Beras juga perlu matang dan disimpan dengan baik," katanya.


Selangor menjadi negeri pertama memiliki gudang makanan, dikendalikan PKPS di fasiliti syarikat logistik Tiong Nam di Pelabuhan Klang untuk kegunaan kecemasan di Selangor .


Kerajaan Negeri merancang untuk meningkatkan kapasiti simpanan meliputi makanan ruji dan sumber protein kepada 40 peratus keperluan bulanan menjelang tahun depan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page