Status kerusi DUN Selangor dimuktamad minggu ini - MB
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Kedudukan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dijangka dimuktamadkan dalam minggu ini sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menentukan sama ada Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri ketika ini menunggu notis rasmi daripada Speaker DUN Selangor manakala Penasihat Undang-Undang Negeri sedang menyiapkan nota berkaitan sebelum perkara itu dimaklumkan kepada pihak berkenaan.
"Hal itu prerogatif Speaker, bukan kedudukan saya. Saya rasa Penasihat Undang-Undang (LA) akan siapkan nota dan saya ingat maksimum minggu ini kita akan maklumkan kepada pihak tertentu tentang kedudukan tersebut.
"Perkara itu keputusan SPR, bukan keputusan saya. SPR akan membuat penilaian sama ada cukup tiga tahun ataupun tidak, ataupun kena buat PRK atau tidak, kita kena akur sebab hal ini ialah keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya atas pengumuman yang dibuat oleh Speaker," katanya dipetik laporan media tempatan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Bersama Menteri Besar Selangor dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang di Shah Alam hari ini.
Amirudin berkata kerajaan negeri komited mematuhi setiap proses perundangan yang ditetapkan dan menyerahkan sepenuhnya kepada SPR untuk membuat keputusan berdasarkan Perlembagaan serta undang-undang yang berkuat kuasa.
Terdahulu timbul persoalan mengenai keperluan mengadakan PRK susulan isu membabitkan kelayakan seorang ADUN Selangor.
Dalam perkembangan lain, Amirudin menegaskan kerajaan negeri akan terus mengambil pendekatan berimbang dalam menangani isu anjing liar dengan mengutamakan keselamatan awam tanpa mengabaikan aspek kebajikan haiwan.
Menurutnya tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu dilaksanakan secara berhemah serta mematuhi undang-undang.
"Kerajaan perlu bertindak demi kepentingan awam, tetapi tindakan itu tidak boleh melampaui batas sehingga bersifat kejam. Yang penting ialah mencari titik keseimbangan antara keselamatan masyarakat dan kebajikan haiwan," katanya.
Beliau turut menepis tanggapan bahawa PBT hanya bertindak selepas menerima tekanan daripada pihak tertentu sebaliknya menjelaskan isu ancaman haiwan liar terhadap komuniti sentiasa diberi perhatian dan pernah dibangkitkan dalam sidang DUN.
Pada masa sama Amirudin berkata kerajaan negeri menghargai keprihatinan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin terhadap isu kebajikan haiwan dan akan memastikan setiap tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara berhemah.
Terdahulu Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan rasa dukacita terhadap insiden kekejaman melibatkan haiwan peliharaan dan haiwan terbiar selain menggesa supaya hukuman di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 dikaji semula agar lebih tegas dan penguatkuasaannya diperkasakan.
