11 pemimpin pelapis KEADILAN, bukti Anwar berjaya bina kepimpinan baharu


Dakwaan bahawa KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal membina barisan pemimpin pelapis untuk meneruskan perjuangan parti itu adalah tidak tepat.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Anwar sebenarnya sudah mengetengahkan beberapa pemimpin muda yang berpotensi menjadi pemimpin nasional menerusi pelantikan dalam kerajaan termasuk sebagai menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik.
Menurutnya, langkah itu membolehkan pemimpin berkenaan memperoleh pengalaman pentadbiran dan mempersiapkan diri untuk memikul tanggungjawab lebih besar dalam parti serta kerajaan.
Katanya, antara tokoh yang diketengahkan ialah Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru dan bekas Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK).
Selain itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal dan Ketua Wanita KEADILAN turut disifatkan sebagai antara pemimpin wanita pelapis yang menunjukkan kemampuan dalam pentadbiran serta pengukuhan organisasi parti.
Hassan berkata, KEADILAN mempunyai barisan pemimpin muda daripada masyarakat Cina yang diberi tanggungjawab dalam kerajaan, antaranya Naib Presiden parti, Datuk Chang Lih Kang yang merupakan Menteri Sains dan Inovasi serta Ahli Parlimen Tanjong Malim.
Turut disenaraikan ialah Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru, selain Chang Ming Kai yang berkhidmat sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse.
Dalam kalangan pemimpin masyarakat India pula, kata Hassan, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R Yuneswaran (Ahli Parlimen Segamat) sebagai antara tokoh muda yang wajar diberikan perhatian.
Pemimpin muda pelbagai kemahiran
Katanya, pengalaman Yuneswaran dalam perjuangan reformasi serta penglibatannya dalam mempertahankan hak berhimpun secara aman membentuk asas kepimpinannya.
"Yuneswaran yang pernah memegang jawatan Setiausaha Kerja Parti Keadilan Johor adalah seorang pemimpin yang pernah mewarnai pengalaman politiknya sehingga ditahan dan didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
"Kini Yuneswaran yang fasih dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Tamil dan Mandrin diberi tanggungjawab oleh Anwar Ibrahim di Kementerian Perpaduan Negara sebagai Timbalan Menteri," ujarnya.
Hassan turut menyenaraikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim yang juga bekas Ketua AMK dan kini Pemangku Pengerusi KEADILAN Melaka sebagai antara pemimpin muda penting parti itu.
Selain itu, Timbalan Menteri Sumber Asli, Syed Ibrahim Syed Noh yang juga Ahli Parlimen Ledang dan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari yang merupakan Ahli Parlimen Sungai Petani turut disebut sebagai sebahagian daripada barisan pelapis.
Seorang lagi tokoh yang diketengahkan ialah Kamil Munim yang kini memegang jawatan Setiausaha Politik Menteri Kewangan dan disifatkan mempunyai potensi untuk muncul sebagai pemimpin nasional.
"Dengan Anwar Ibrahim melantik Kamil Munim sebagai Setiausaha Politik Menteri Kewangan, dan Anwar sebagai menterinya, maka pemimpin muda bernama Kamil Munim ini yang berpelajaran tinggi dan tangkas berhujah dan berpidato, ternyata akan muncul sebagai salah seorang pemimpin Keadilan di peringkat nasional dalam masa terdekat ini," katanya.
Menurut Hassan, faktor usia dan peluang memperoleh pengalaman pentadbiran menjadi antara pertimbangan Anwar dalam membentuk barisan kepimpinan baharu parti itu.
Generasi pimpinan KEADILAN masa depan
Beliau berkata, pelantikan pemimpin muda dalam kerajaan sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan pada November 2022 menunjukkan usaha menyediakan generasi kepimpinan seterusnya.
"Maka dengan senarai panjang tokoh-tokoh muda pemimpin KEADILAN yang telah dilatih, diketengahkan serta diberi kepercayaan oleh Presiden, Anwar Ibrahim, yang juga Perdana Menteri, seperti dinyatakan di atas, saya penuh percaya Parti Keadilan Rakyat mempunyai masa hadapan yang meyakinkan untuk menjadi parti politik yang kuat dan berpengaruh dalam mengharungi politik Malaysia, termasuklah cabaran Pilihanraya Umum ke-16 yang akan datang," katanya menerusi kenyataan media.
Beliau menegaskan KEADILAN tidak ketandusan pemimpin muda berpotensi, sebaliknya mempunyai barisan tokoh pelapis yang sedang membina pengalaman dalam pentadbiran kerajaan dan organisasi parti.



Comments