Google umum pelaburan AS$15 bilion, kukuh kedudukan Malaysia hab AI serantau


Google mengumumkan pelaburan baharu bernilai AS$15 bilion bagi tempoh 2027 hingga 2028, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) terkemuka di rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaburan strategik itu dijangka menyumbang purata AS$1.1 bilion setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Pelaburan berkenaan turut dijangka menyokong lebih 37,000 pekerjaan tempatan setiap tahun sepanjang fasa pembinaan, selain mengekalkan lebih 9,000 pekerjaan setahun apabila kemudahan tersebut mula beroperasi.
Anwar menyampaikan ucaptama pada program Mantap Malaysia Bersama AI anjuran Google di Universiti Malaya semalam, yang menyaksikan pengumuman pelaburan berkenaan.
Beliau menyifatkan pelaburan itu sebagai manifestasi keyakinan pelabur antarabangsa terhadap kestabilan ekonomi Malaysia, keupayaan bakat tempatan serta potensi negara dalam pembangunan teknologi digital dan AI.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan bahawa kejayaan sesuatu pelaburan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah modal yang dibawa masuk semata-mata, sebaliknya melalui sejauh mana manfaatnya dapat meningkatkan martabat dan kesejahteraan rakyat.
Tingkat kemahiran rakyat
Sehubungan itu, komitmen Google untuk meningkatkan kemahiran 800,000 rakyat Malaysia menjelang 2031, termasuk golongan muda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendidik, penjawat awam serta usahawan kecil, disifatkan selari dengan aspirasi Ekonomi MADANI.
Kerjasama Google dengan lebih 80 entiti tempatan juga diharap dapat memperkukuh keupayaan industri negara, memperluas peluang pekerjaan bermutu dan merapatkan jurang digital.
Dalam pada itu, Anwar menekankan bahawa pembangunan teknologi perlu berteraskan prinsip ihsan serta tanggungjawab terhadap kelestarian alam. Beliau turut menyentuh komitmen Google untuk menambah kapasiti tenaga bersih melebihi satu gigawatt dan memperkukuh jaminan bekalan air negara.
Menurut beliau, teknologi dalam kerangka MADANI bukanlah matlamat akhir, sebaliknya wahana untuk memperkasa potensi manusia dan menegakkan keadilan sosial.
Anwar menegaskan bahawa revolusi AI tidak boleh hanya dinikmati golongan elit, sedangkan rakyat kebanyakan sekadar menjadi pemerhati.
Beliau berkata kemajuan sebenar perlu memastikan kecanggihan teknologi, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat bergerak seiring tanpa ada pihak yang tercicir daripada arus perubahan.




Comments