CSA Dajal: 'Jangan jadi Amanat Hj Hadi, pecah belahkan masyarakat'


Pakatan Harapan (PH) Melaka menggesa Pas mengambil iktibar daripada kontroversi Amanat Haji Hadi dan menghentikan politik melabel yang disifatkan boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat, khususnya apabila perbezaan pandangan politik mula disandarkan kepada sentimen agama.
Pengerusinya, Adly Zahari berkata, sebarang perjanjian politik termasuk Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) perlu dinilai berdasarkan kandungan dan hujah yang dikemukakan, bukannya disandarkan kepada label agama yang melampau bagi memburukkan pihak tertentu.
"Pas sepatutnya mengambil pengajaran daripada Amanat Haji Hadi yang disampaikan di Banggol Peradong pada 7 April 1981.
"Penerbitan Jabatan Mufti Negeri Melaka merekodkan perpecahan yang dikaitkan dengannya termasuk pertelingkahan keluarga, pemulauan kenduri dan perkauman sembelihan (haiwan).
"Fatwa mengenai amanat tersebut diwartakan di Melaka pada 25 Julai 2002, dengan ketetapan bahawa ia bercanggah dengan ajaran Islam, kepentingan masyarakat Islam serta kemuliaan agamanya, dan prinsip dakwah Islamiah.
"Penyebaran, pengajaran serta pengamalannya turut dilarang. Melaka kemudian mewartakan fatwa Larangan Kafir Mengkafir Sesama Umat Islam pada 26 September 2013.
"Walaupun label 'Dajal' tidak sama dengan menghukum seseorang kafir, kedua-dua rekod ini wajar mengingatkan semua pihak tentang batas pertikaian politik dan pentingnya memelihara persaudaraan.
"Adakah Pas mahu terus mempertahankan politik melabel? Sekutu-sekutunya juga perlu menyatakan pendirian," katanya dalam sidang media di bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan Melaka di Kompleks Perniagaan Musai Jaya (Jalan KPMJ 1), Kampung Musai, Bukit Piatu, tengah hari tadi.
Justeru, Adly berkata pihaknya menolak penggunaan sentimen agama untuk menakutkan rakyat dan menegaskan bahawa persaudaraan sesama Islam, penghormatan sesama manusia serta keadilan kepada semua ialah asas kepada kerukunan di negara ini.
Ujar beliau yang juga mantan Ketua Menteri Melaka, rakyat di negeri itu wajar menilai Pas melalui kenyataan dan tindakannya.
"Politik yang menggunakan label agama melampau berisiko memecahbelahkan masyarakat berbilang bangsa dan agama.
"Jangan sampai rakyat bermusuh sesama jiran dan keluarga, sedangkan pemimpin yang mencetuskan pertelingkahan sudah bersalaman mencari gabungan baharu," katanya lagi.




Comments