Rejim tanpa peri kemanusiaan


Oleh: Zunar
Diari Reformasi: Sebelum dipecat pada 2 September 1998, kediaman Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Timbalan Perdana Menteri ketika itu ialah Kediaman Rasmi Timbalan Perdana Menteri (Sri Taman) yang terletak di No. 47, Jalan Damansara.
Kediaman ini terletak kira-kira 50 meter dari Sri Perdana, yang merupakan kediaman rasmi Perdana Menteri ketika itu, Dr. Mahathir Mohamad (Tun). Tapak Seri Perdana lama itu kini telah diwartakan sebagai Galeria Sri Perdana.
Pada hari tersebut (2 September), kira-kira jam 3:30 petang, Anwar dipanggil oleh Mahathir ke pejabat beliau. Dalam pertemuan itu, Mahathir memaksa Anwar untuk meletakkan jawatan dengan memberikan ugutan: "Jika tidak, sesuatu yang memalukan keluarga beliau akan didedahkan." (Apa yang dimaksudkan ketika itu ialah tuduhan liwat).
Anwar dengan tegas menjawab, "Saya tidak bersalah, kenapa saya harus letak jawatan?!" Maka, terjadilah pertengkaran sengit.
Saksi-saksi memberitahu saya bahawa suara pertengkaran itu sampai terdengar di bilik sebelah. Disebabkan Anwar menjawab dengan begitu tegas, saksi juga mendedahkan bahawa tangan Mahathir menggigil pada ketika itu.
Kenapa begitu? Ini kerana tuduhan tersebut hanyalah ugutan tidak berasas yang dihasilkan daripada skrip sebuah konspirasi. Sekiranya tuduhan tersebut benar, sudah tentu Anwar tidak akan berani melawan.
Bertemu Dr Haron Din
Beberapa hari selepas itu, Anwar bertemu dengan Ustaz Dr Haron Din di Bangi. Tok Guru itu menguji kebenaran dengan berjabat tangan dengan Anwar sambil memandang tepat ke matanya dan bertanya, "Betul atau tidak kamu melakukannya?"
Indikasinya, sekiranya Anwar menjawab sambil mengelak daripada bertentang mata, itu bermakna Anwar bersalah. Namun, Anwar dengan tenang menjawab "tidak" sambil memandang tepat ke dalam anak mata Ustaz Haron Din.
Berceramah tegak kebenaran
Satu lagi indikasi jelas ialah selepas pemecatan beliau pada 2 September sehinggalah sebelum tarikh tangkapan pada 20 September, Anwar aktif mengadakan ceramah di hadapan puluhan ribu orang di seluruh negara. Sekiranya Anwar memang bersalah dan terlibat dalam skandal seksual sedemikian, dia pastinya tidak akan mempunyai keberanian untuk berhadapan dengan puluhan ribu massa.Kembali kepada peristiwa 2 September.
Selepas pertengkaran dengan Mahathir itu, Anwar pulang ke rumah rasminya di Sri Taman. Kira-kira jam 7:00 malam, tiga orang pegawai polis datang untuk menyampaikan surat pemecatan kepada Anwar. Beliau turut diarahkan untuk mengosongkan rumah rasmi tersebut dengan segera. Anwar dan keluarganya maklum serta tidak membantah arahan untuk berpindah ke rumah peribadi mereka di Bukit Damansara.
Namun, memandangkan ia adalah satu keputusan yang mendadak, proses mengemas barang dan menyewa lori sudah tentu memakan masa satu atau dua hari. Tidak lama selepas itu, bekalan air dan elektrik di rumah berkenaan diputuskan secara mengejut. Tindakan ini pastinya dilakukan atas arahan Mahathir selaku Perdana Menteri ketika itu.
Akibatnya, rumah tersebut bergelap sehinggakan mereka terpaksa menggunakan lilin serta set jana kuasa (generator) alternatif.
Sekejam itu? Tanpa sedikit pun rasa peri kemanusiaan.
Cuba bandingkan dengan pendekatan Anwar sekarang sebagai Perdana Menteri; seorang pemimpin yang tidak menyerang atau menekan orang lain secara peribadi, mahupun berdendam peribadi. Seperti yang selalu beliau tekankan,
"Apa yang mereka lakukan terhadap peribadi saya, dimaafkan. Tetapi jika duit rakyat disakau, saya tidak akan membiarkannya." Itulah prinsip yang mengangkat tinggi, "Berakhlak dan berilmu!"




Comments