top of page

Banjir: Selangor tidak diam diri, 70% projek tebatan siap

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
1 hour ago
2 min read
Amirudin melawat mangsa banjir melibatkan 500 buah rumah di Sungai Buloh
Amirudin melawat mangsa banjir melibatkan 500 buah rumah di Sungai Buloh

Kerajaan Selangor tidak berdiam diri dalam menangani masalah banjir yang berulang di negeri itu apabila sebanyak 105 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) jangka panjang bernilai RM4.28 bilion sedang dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negeri.


Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata komitmen itu membuktikan isu banjir sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri meskipun penyelesaian menyeluruh memerlukan perancangan jangka panjang serta kerjasama pelbagai pihak.


"Pada Disember 2024, Selangor menubuhkan pasukan petugas khas bersama Kerajaan Persekutuan dan PBT untuk memecahkan budaya kerja silo mengatasi banjir.


"Ini langkah penting menggabungkan semua pihak untuk satu matlamat iaitu Selangor mengatasi banjir.


"Hari ini, 105 projek rancangan tebatan banjir jangka panjang sedang bergerak di seluruh Selangor dengan kos RM4.28 bilion. Ia dirancang siap secara berperingkat kerana merupakan projek besar," katanya dalam kenyataan hari ini.


Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, Selangor turut melaksanakan 255 projek segera bernilai hampir RM70 juta di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi panas banjir kilat dengan 70 peratus daripadanya sudah disiapkan.


"Bakinya disasarkan selesai hujung tahun ini," katanya.


Pada masa sama, beliau berkata Selangor dan Kuala Lumpur turut bekerjasama menerusi pelan lima langkah merangkumi penilaian kapasiti Empangan Batu dan Klang Gates serta usaha mengenal pasti tapak baharu kolam takungan di kawasan hulu.


Amirudin berkata kerajaan negeri tidak menjanjikan masalah banjir dapat dihapuskan dalam sekelip mata lebih-lebih lagi ketika negara berdepan perubahan iklim yang menyebabkan kejadian cuaca ekstrem.


Beliau menjelaskan kejadian banjir baru-baru ini berpunca daripada taburan hujan luar biasa yang melebihi purata normal.


Mengambil contoh kejayaan penyelesaian isu bekalan air bersih di Selangor menerusi perancangan jangka panjang, beliau yakin pendekatan sama mampu membina negeri yang lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim.


"Alhamdulillah, sedar atau tidak, hari ini kita kurang mendengar rakyat Selangor merungut bekalan air tiada seperti satu masa dulu," jelasnya.


Dalam hal ini, beliau turut yakin masalah banjir mampu diselesaikan melalui rancangan jangka panjang dengan membina Selangor yang lebih beradaptasi menghadapi perubahan iklim.


"Dan buat yang terkesan pada masa ini, bantuan segera akan disediakan oleh kerajaan negeri buat mangsa-mangsa banjir," katanya.


"Komitmen kerajaan negeri menangani isu banjir sentiasa teratas merentasi tempat dan masa. Sama-sama kita doakan agar Selangor sentisa dilindungi-Nya," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page