Isu infra, rumah mampu milik antara keresahan penduduk DUN Ayer Molek


Keperluan menaik taraf infrastruktur asas dan menyediakan lebih banyak rumah mampu milik menjadi antara isu utama yang dibangkitkan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Ayer Molek, Hakimin Mokhtar berkata, perkara itu dikenal pasti menerusi sesi walkabout dan pertemuan bersama penduduk di beberapa kawasan sepanjang tempoh berkempen.
Menurutnya, selain isu perumahan, penduduk turut menyuarakan kebimbangan mengenai kesesakan jalan raya, kepadatan sekolah dan masjid serta masalah banjir kilat yang berlaku di beberapa lokasi.
"Kebanyakan isu yang dibangkitkan penduduk adalah mengenai infrastruktur, ruang pekerjaan dan juga rumah-rumah mampu milik untuk mereka. Ada juga mengenai jalan raya yang sesak dan sebagainya.
"Antara perkara yang turut diberi perhatian ialah kepadatan sekolah dan masjid," katanya ketika ditemui selepas program turun padang di kawasan DUN Ayer Molek.
Mengulas masalah banjir, Hakimin berkata, beberapa kawasan di Ayer Molek turut berdepan kejadian banjir kilat, khususnya apabila hujan berterusan dalam tempoh yang panjang.
"Contohnya di Ayer Molek ini, kebiasaannya berlaku banjir kilat. Kalau banjir pun tidak lama, tetapi memang akan berlaku banjir juga sekiranya hujan melebihi 12 jam," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penyediaan rumah mampu milik juga perlu diberi perhatian bagi membantu penduduk, khususnya golongan muda, mendapatkan kediaman sendiri pada harga yang bersesuaian dengan kemampuan kewangan mereka.
Hakimin yang juga Ketua Angkatan Muda KEADILAN Melaka berkata, isu peluang pekerjaan turut berkait rapat dengan kemampuan golongan muda untuk membina kehidupan lebih stabil, termasuk memiliki rumah.
Katanya, peluang pekerjaan yang terhad dan tawaran gaji yang kurang bersesuaian dengan kelayakan graduan antara cabaran yang perlu ditangani di Melaka.
Beliau berkata, sekiranya PH diberi peluang mentadbir negeri Melaka, usaha memperluaskan peluang pekerjaan khususnya kepada anak muda akan menjadi antara perkara yang cuba diberi perhatian.
"Kalau kita lihat di negeri Melaka ini, graduan yang baru tamat pengajian di universiti ataupun kolej agak sukar mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan mereka.
"Peluang pekerjaan untuk golongan ini agak terhad dan gaji yang ditawarkan juga kurang memuaskan," katanya lagi.




Comments