STR Fasa 4, RM1.1 bilion bantu 5.4 juta penerima sempena Deepavali


Kerajaan MADANI menyalurkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 4 berjumlah RM1.1 bilion kepada 5.4 juta penerima secara berperingkat mulai hari ini hingga 6 November 2026, bagi membantu rakyat mengurus perbelanjaan harian dan persiapan menyambut perayaan Deepavali.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika singgah menyantuni peniaga dan pengunjung di Mega Bazar, Brickfields, yang meriah dengan pelbagai persiapan serta jualan sempena sambutan Hari Deepavali.
Anwar meluangkan masa bertemu, bertegur sapa dan berkongsi kemeriahan bersama masyarakat, selain bertanyakan persiapan serta harapan mereka menjelang perayaan itu.
Menurut beliau, bantuan STR Fasa 4 diharap dapat meringankan perbelanjaan keluarga yang bakal menyambut Deepavali, termasuk lebih 630,000 penerima daripada masyarakat India.
Bantuan berkenaan turut membantu penerima lain mengurus keperluan harian dan perbelanjaan akhir tahun.
Anwar menegaskan bahawa Kerajaan MADANI akan terus memastikan bantuan seperti STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) disalurkan kepada golongan yang memerlukan supaya manfaatnya dapat dirasai rakyat.
Beliau berharap bantuan tersebut dapat memberi kelegaan kepada keluarga penerima, khususnya dalam membuat persiapan perayaan dan memenuhi keperluan masing-masing.




Comments