Pertahankan Reformasi Pendidikan Dalam KP2027


ULASAN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melaksanakan langkah reformasi berani dengan memperkenalkan beberapa perubahan dalam Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027), khususnya pelaksanaan program pembentukan karakter.
Program ini bukanlah program baharu, ia hanya penerusan dengan penambahbaikan terhadap Program Nilai dan Karakter (PRONIKA) yang dilaksanakan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025. Program ini menekankan pembentukan karakter murid menggunakan pendekatan praktikal (hands-on) dalam rutin harian.
Kurikulum ini sebenarnya tidak asing dalam pendidikan negara maju kerana ia telah diamalkan oleh Singapura dan United Kingdom. Jepun adalah antara negara yang mengamalkan pendekatan ini dengan membentuk karakter murid melalui aktiviti membersihkan kelas dan kawasan sekolah.
Latih karakter, nilai baik secara praktikal
Teras asas kurikulum ini adalah untuk melatih murid mengamalkan karakter dan nilai yang baik secara praktikal, bukan hanya mengajar mereka berkenaan karakter yang baik secara teori semata-mata. Kurikulum ini sebenarnya merealisasikan semangat yang terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mahu membangunkan pelajar secara holistik merangkumi aspek intelek, rohani, emosi, dan jasmani.
Namun disebalik usaha reformasi yang berani ini, wujud bantahan yang disuarakan oleh kepimpinan Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) terhadap perlaksanaan program pembentukan karakter. Lee Chean Chung, Kepimpinan Kebangsaan BERSAMA menyatakan bantahan terhadap program tersebut dengan alasan bahawa perlu projek rintis dan penilaian sebelum ia dilaksanakan.
Bantahan tersebut tidak sepatutnya dibangkitkan kerana program pembentukan karakter adalah penerusan dengan penambahbaikan terhadap Program Nilai dan Karakter (PRONIKA), ia telah terbukti berkesan melalui kajian yang dilaksanakan sebelum ini. Kini ia cuma diteruskan dengan penambahbaikan, perlaksanaan kajian rintis tidak timbul dan ia hanya akan melambatkan reformasi pendidikan yang diusahakan oleh Kerajaan Madani.
Hapuskan amalan sakau
Lee Chean Chung turut membangkitkan isu pengurangan masa pembelajaran untuk subjek teras dan bahasa ibunda (untuk SJKC dan SJKT) apabila program pembentukan karakter dilaksanakan. Bantahan yang disuarakan oleh Lee Chean Chung gagal melihat matlamat lebih besar yang cuba dicapai oleh Kerajaan Madani.
Masalah paling besar yang dihadapi oleh Malaysia hari ini adalah amalan ‘sakau’ oleh kepimpinan masyarakat sehingga merugikan negara. Amalan tersebut wajar dihapuskan dan pengenalan program pembentukan karakter adalah usaha reformasi yang cuba diusahakan oleh Kerajaan Madani sementara masa masih mengizinkan.
Tiada gunanya kita mempunyai sebuah negara maju dengan pelbagai teknologi canggih jika amalan ‘sakau’ masih gagal untuk dibendung. Justeru reformasi pendidikan ini melihat kepentingan pembentukan karakter adalah lebih utama untuk dibangunkan mendahului silibus pendidikan lain.
Rasional berpolitik
Seharusnya Lee Chean Chung menyuarakan bantahan ini ketika beliau masih memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya (mewakili Kerajaan Madani). PMX dan Menteri Pendidikan bukan baru hari ini bercakap tentang pembinaan karakter, sahsiah dan adab.
Agenda ini telah diketengahkan sejak awal pentadbiran Kerajaan MADANI, malah pendidikan karakter telah diumumkan sebagai sebahagian daripada pendekatan Kurikulum Persekolahan 2027 sejak Disember 2023. Pembentukan karakter bukan agenda bermusim, justeru mengapa baru sekarang Lee Chean Chung membangkitkan persoalan ini?
Jangan biarkan kebencian menguasai diri sehingga mengorbankan agenda reformasi pendidikan yang baik, beliau dinasihatkan untuk bermuhasabah dan kembali rasional dalam berpolitik.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi KEADILAN Negeri Selangor Darul Ehsan




Comments