top of page

CSA pendekatan Dajal: Jangan guna istilah jelik, bahas pendirian politik secara rasional

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
2 min read
Naib Presiden KEADILAN, Datuk Chang Lih Kang
Naib Presiden KEADILAN, Datuk Chang Lih Kang

Kenyataan Presiden Pas, Hj Hadi Awang yang mengaitkan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara Kerajaan Persekutuan dengan 13 Ahli Parlimen pembangkang sebagai ‘pendekatan Dajjal’ disifatkan sangat tidak wajar.


Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Chang Lih Kang berkata, perbezaan pendirian politik sepatutnya dibahaskan secara rasional dan berasaskan fakta, bukannya menggunakan istilah keagamaan sehingga mengeruhkan perbincangan mengenai dasar serta kepentingan negara.


Menurutnya, CSA bukan mekanisme asing dalam sistem demokrasi berparlimen, sebaliknya satu bentuk kerjasama politik bagi menjamin kestabilan pentadbiran tanpa menafikan peranan pembangkang melaksanakan fungsi semak dan imbang.


"Kita tidak boleh melupakan pengalaman ketidaktentuan politik yang pernah melanda negara sehingga menjejaskan keyakinan terhadap kestabilan pentadbiran.


"Rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan ekonomi, menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan dan menangani tekanan kos sara hidup," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, melalui CSA, sokongan terhadap urusan penting Parlimen termasuk Belanjawan 2027 dapat diperkukuh, selain membuka ruang meneruskan agenda reformasi institusi.


Lih Kang turut mengingatkan bahawa kerjasama politik rentas parti bukanlah perkara baharu dalam negara, malah kerajaan diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sari Yaakob dari PN pada 2021 yang turut disertai Pas pernah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH) atas alasan menjamin kestabilan politik.


"Justeru, prinsip kerjasama sedemikian sewajarnya dinilai secara konsisten berdasarkan kandungan dan matlamatnya," ujarnya.


Menurut Ahli Parlimen Tanjung Malim itu, rakyat tidak mendapat manfaat daripada pertelingkahan politik yang berpanjangan kerana keutamaan mereka adalah kestabilan pentadbiran dan pertumbuhan ekonomi.


"Apa yang mereka harapkan ialah kestabilan pentadbiran, ekonomi yang berkembang, peluang pekerjaan yang lebih baik dan kos sara hidup yang terkawal," katanya lagi.


Kelmarin, Hadi menerusi tulisan Minda Presiden Pas bertajuk 'Tempias Dajjal Sudah Tiba' yang mengaitkan CSA dengan pendekatan Dajal pada akhir zaman.


Ahli Parlimen Marang itu mendakwa mekanisme berkenaan menjadikan kuasa bukan lagi suatu amanah yang wajib ditunaikan kepada semua rakyat sebaliknya sebagai alat untuk memaksa pihak tertentu terus berkuasa.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page