top of page

Pendidikan mesti kuasai teknologi, teguh pada nilai, kemanusiaan - PM

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
3 hours ago
2 min read
DS Anwar menyampaikan  Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) 2026 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Melaka,  petang ini
DS Anwar menyampaikan  Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) 2026 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Melaka, petang ini

Sistem pendidikan negara perlu berani meneroka kemajuan ilmu dan teknologi tanpa mengabaikan akar budaya, nilai, adab serta kemanusiaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau berkata, falsafah “menggapai di langit, mengakar di bumi” harus menjadi pedoman dalam membangunkan sistem pendidikan yang mampu melahirkan generasi berkemahiran tinggi, berdaya saing dan tetap berpegang teguh pada nilai kemanusiaan.


Anwar berkata demikian ketika menyempurnakan Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) 2026 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).


Menurut beliau, penguasaan kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan kemahiran teknikal mutakhir merupakan tuntutan zaman yang perlu diberi perhatian serius oleh institusi pendidikan serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).


Beliau berkata pelaburan besar dalam sektor teknologi, termasuk pelaburan RM61 bilion oleh Google, serta keperluan tenaga mahir dalam industri berteknologi tinggi menunjukkan betapa pentingnya latihan, pengkhususan dan keterampilan anak muda diperkukuh agar selari dengan keperluan industri.


Teguh nilai dan kemanusiaan


Bagaimanapun, Anwar mengingatkan bahawa penguasaan ilmu dan kepakaran tidak seharusnya melahirkan insan yang kehilangan kepekaan terhadap nilai dan kemanusiaan.


Beliau merujuk pemikiran José Ortega y Gasset menerusi karya The Revolt of the Masses, yang mengingatkan tentang gejala “barbarism of specialization” — keadaan apabila pengkhususan ilmu berisiko menjadikan seseorang kurang memahami nilai dan kehidupan manusia secara menyeluruh.


Anwar menegaskan bahawa pendidikan bukan sekadar membentuk individu yang pintar dan mahir, tetapi turut perlu menyuburkan akhlak serta membina insan yang menghormati martabat sesama manusia tanpa mengira kaum, agama atau darjat.


Beliau berkata matlamat besar negara adalah mewariskan Malaysia yang maju dan berdaya saing kepada generasi muda, dengan penguasaan teknologi tercanggih, peluang pekerjaan bermutu serta upah yang lebih bermaruah.


Namun, kemajuan itu perlu dicapai dengan generasi yang tetap teguh berpaut pada akar nilai, prinsip dan kemanusiaan.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page