SPM 2025: GPK meningkat bukti keberkesanan intervensi KPM - Fadhlina
- Suara Keadilan

- 2 days ago
- 2 min read

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang merekodkan pencapaian tertinggi dalam tempoh lima tahun membuktikan keberkesanan intervensi yang dilakukan secara berterusan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di semua peringkat.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (gambar) berkata, lebih membanggakan apabila pencapaian memberangsangkan ditonjolkan termasuk kohort pertama yang melalui sistem persekolahan tanpa Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
"Saya lihat ini satu kohort atau generasi anak-anak yang sentiasa dibincangkan kerana mereka tidak menduduki sebarang peperiksaan sebelum ini.
"Calon SPM 2025 juga antara kohort yang berdepan pelbagai ujian getir menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) ketika era COVID-19.
"Kita ambil sikap lebih positif, khususnya keputusan ini membuktikan mereka adalah satu generasi atau kohort anak-anak yang daya tahannya cukup tinggi," katanya dipetik.
Fadhlina sementara itu turut menzahirkan rasa bangga dan mengapresiasikan kejayaan itu kepada warga KPM secara keseluruhan, termasuk warga sekolah dan guru yang sedaya upaya membantu, melalui pelbagai langkah intervensi secara berterusan.
"Secara keseluruhannya, mereka membuktikan bahawa ujian (dilalui) sebelum ini telah memberikan satu kekuatan kepada mereka untuk mendapat satu keputusan yang sangat baik hari ini," ujarnya pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang, pada Selasa.
Keputusan SPM 2025 mencatatkan pencapaian lebih baik dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.42, berbanding 4.49 pada 2024.
Katanya, seramai 13,779 calon memperoleh keputusan cemerlang iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran pada 2025, berbanding 13,827 calon pada 2024.
Dalam pada itu, Fadhlina memaklumkan KPM akan terus memberi sokongan kepada murid yang berdepan kekangan ekonomi, termasuk bantuan ke sekolah dan sokongan akademik berterusan.
Usaha merapatkan jurang pencapaian antara bandar dan luar bandar turut dipergiat melalui pelbagai inisiatif termasuk menaik taraf sekolah daif, kerja penyelenggaraan serta penyediaan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.




Comments