Kunjungan pemimpin AMANAH ke NU kukuhkan hubungan Malaysia–Indonesia
- Redzuan Shamsudin

- 5 minutes ago
- 1 min read

Kunjungan delegasi Malaysia ke pertubuhan Nahdlatul Ulama (NU) Indonesia dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh hubungan serantau, khususnya dalam konteks kerjasama Nusantara yang lebih luas.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata lawatan ke Pejabat Besar NU dan pertemuan bersama Ketua Umum NU, Yahya Cholil Staquf membuka ruang kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.
"NU merupakan organisasi Islam terbesar di dunia dengan keanggotaan melebihi 130 juta ahli serta memainkan peranan besar dalam pembangunan umat, pendidikan dan keamanan sejagat," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, dalam pertemuan tersebut Malaysia turut menyuarakan hasrat untuk memperkukuh rantau Nusantara sebagai pusat keamanan, keharmonian dan kesejahteraan ekonomi serantau.
"Saya menyampaikan hasrat agar rantau Nusantara dapat diperkasakan sebagai pusat keamanan, keharmonian dan kesejahteraan ekonomi.
"Hubungan rakyat kepada rakyat amat penting dalam mengukuhkan kerjasama dua hala serta menjana potensi ekonomi lebih besar antara Malaysia dan Indonesia," ujarnya.
Beliau turut menekankan peranan sektor perniagaan dalam memperluas jaringan kerjasama, termasuk melalui penglibatan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).
"Saya melihat DPMM mampu memainkan peranan penting dengan menghimpunkan komuniti usahawan Malaysia untuk meninjau peluang serta potensi usahasama ekonomi bersama Indonesia," katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata NU turut boleh memainkan peranan timbal balik dalam memperkukuh jaringan kerjasama rakyat, ekonomi serta pembangunan ummah di rantau ini.
Tambahnya, usaha tersebut diharap menjadi langkah bermakna dalam membina masa depan Nusantara yang lebih aman, makmur dan sejahtera.
"Semoga usaha seperti ini menjadi langkah bermakna dalam membina masa depan Nusantara yang lebih aman, makmur dan sejahtera demi manfaat generasi akan datang," katanya lagi.




Comments