top of page

Sokongan PH meningkat hasil strategi kempen, kenyataan lawan – Saifuddin

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 2 hours ago
  • 2 min read
DS Saifuddin berkempen di DUN Puteri Wangsa membantu calon PH, Dr Maszlee Malik. Foto: FB Saifuddin
DS Saifuddin berkempen di DUN Puteri Wangsa membantu calon PH, Dr Maszlee Malik. Foto: FB Saifuddin

Pakatan Harapan (PH) berkata momentum sokongan terhadap gabungan itu pada separuh pertama kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dipacu oleh strategi kempen yang tersusun selain kenyataan politik pihak lawan yang disifatkan memberi kelebihan kepada PH.


Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkembangan itu dapat dilihat daripada reaksi pengundi terhadap beberapa tindakan dan pendirian yang diambil oleh parti lawan sepanjang kempen.


"Sebahagiannya disebabkan strategi parti yang kita gunakan, tetapi pada masa yang sama kita juga melihat pihak lawan turut membantu melonjakkan sokongan kepada kita," katanya dalam dalam sidang media di DUN Puteri Wangsa, petang tadi.


Menurut beliau, antara perkembangan paling ketara minggu ini ialah pengumuman Pas yang hanya bertanding di 11 kerusi dan memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) di kawasan yang tidak ditandinginya.


"Perkara itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengundi Johor," katanya.


Saifuddin berkata, pendirian itu menimbulkan persoalan kerana Pas meminta pengundi menyokong calonnya di kerusi yang ditandingi, tetapi mengalihkan sokongan kepada BN di kawasan lain walaupun terdapat calon komponen Perikatan Nasional iaitu Bersatu yang bertanding.


"Mereka tertanya-tanya, di 11 kawasan yang Pas bertanding menentang UMNO, kempen Pas di situ ialah 'Undilah Pas'. Tetapi di kawasan yang Pas tidak bertanding, undi mesti diberikan kepada Barisan Nasional.


"Sedangkan terdapat 16 kerusi Perikatan Nasional yang ditandingi oleh Bersatu. Pas pula mengatakan mereka tidak menyokong Bersatu.


"Jadi mesej ini menunjukkan bagaimana Pas mengambil mudah rakyat Johor. Mereka boleh mencaturkan keadaan begitu sahaja mengikut selera politik mereka. Dan itu tidak bagus," katanya.


Beliau berkata, pendekatan PH pula lebih telus dengan pembahagian kerusi yang jelas serta manifesto yang disifatkan realistik dan boleh dilaksanakan.


"Sebanyak 20 kerusi ditandingi KEADILAN, 19 oleh AMANAH dan 17 oleh DAP. Kita masuk menawarkan satu pilihan kepada rakyat untuk membentuk kerajaan.


"Jadi semuanya jelas, crystal clear. Tiada sebarang mesej tersembunyi," katanya.


Menurut Saifuddin, manifesto PH turut dirangka dengan sasaran yang jelas serta mampu memberi keyakinan kepada rakyat.


"Kita juga meluncurkan manifesto yang sangat mudah difahami, munasabah, mampu memberi resonansi kepada rakyat, mempunyai garis masa yang jelas, serta sesuatu yang boleh dicapai (achievable dan attainable)," katanya.


Beliau merumuskan bahawa trend sokongan terhadap PH sepanjang separuh pertama kempen dipengaruhi oleh dua faktor utama.


"Kesimpulan saya bagi separuh masa pertama kempen ini ialah trend atau corak sokongan yang meyakinkan itu disumbangkan oleh dua perkara.


"Pertama, kita mula melihat impak strategi kempen yang diatur oleh Pakatan Harapan.


"Kedua, kita juga dibantu oleh kenyataan-kenyataan politik daripada pihak lawan," katanya.


Dalam perkembangan sama, Saifuddin berkata kehadiran seorang bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO ke pentas ceramah PH turut menjadi perkembangan menarik yang akan dimanfaatkan sepanjang kempen.


"Saya berhubung rapat dengan beliau dan kita akan memanfaatkan perkara tersebut kerana saya telah memberitahu beliau bahawa beliau hanya perlu menyampaikan fakta tanpa membuat sebarang kesimpulan atau ulasan politik.


"Orang ramai sendiri boleh memahami tindakan yang beliau ambil," katanya.


Untuk rekod, bekas ADUN Rengit, Datuk Dr Puad Zakarshi semalam hadir dalam majlis bersama Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim di FELDA Ulu Tebrau.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page