Sokongan pengundi teras PH di Johor kekal - Amirudin
- Sidiqin Omar
- 2 minutes ago
- 2 min read

Sokongan pengundi teras Pakatan Harapan (PH) di Johor masih kekal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16, namun peralihan sokongan daripada Perikatan Nasional (PN) kepada Barisan Nasional (BN) menjadi antara faktor utama yang mempengaruhi keputusan keseluruhan.
Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Amirudin Shaari, berkata kawasan yang menjadi penyokong teras PH masih menunjukkan sokongan terhadap gabungan itu berbanding corak keputusan yang berlaku dalam pilihan raya negeri di Sabah.
Menurut beliau, perubahan pola pengundian khususnya melibatkan penyokong PN yang beralih kepada BN merupakan satu pemboleh ubah penting yang perlu dikaji secara terperinci.
"Kalau kita lihat di sini, kawasan core supporter Pakatan Harapan masih lagi memberikan sokongan berbanding dengan apa yang kita hadapi di Sabah," katanya ketika mengulas keputusan PRN Johor Ke-16.
"PH akan melakukan penelitian menyeluruh terhadap keputusan pilihan raya termasuk jumlah undi yang diterima secara keseluruhan, mengikut lokaliti serta saluran pengundian bagi memahami faktor sebenar yang mempengaruhi keputusan.
"Sudah pasti Pakatan Harapan harus kembali melihat semula strategi dan pendekatan kita, termasuk jumlah undi yang telah kita terima secara keseluruhan serta di setiap lokaliti dan saluran yang ada," katanya pada sidang media malam tadi.
Beliau yang juga Pengarah Bersama Pilihanraya KEADILAN berkata, perbandingan antara PRN Johor 2022 dan 2026 turut menunjukkan perubahan besar dalam jumlah pengundi yang keluar mengundi.
Menurutnya, pada PRN Johor sebelum ini pada 2022 jumlah pengundi sekitar 500,000 orang, berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) yang merekodkan kira-kira 800,000 pengundi.
"Kita melihat berlaku transformasi pilihan. Peralihan daripada penyokong PN kepada BN mungkin menjadi salah satu sebab yang menyumbang kepada keputusan hari ini," katanya.
Dalam pada itu, Amirudin berkata situasi PRN Johor berbeza dengan keadaan politik di Sabah yang dipengaruhi faktor dominasi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan isu-isu tempatan.
Menurut beliau, PH di Johor masih merupakan pesaing utama dan banyak keputusan menunjukkan gabungan itu berada di kedudukan kedua berbanding pesaing lain.
Beliau menegaskan PH masih mempunyai asas sokongan yang kukuh di Johor, namun perlu mencari ruang untuk mengembangkan sokongan bagi mendapatkan semula tahap sokongan yang pernah dicapai sebelum ini.
"Di sini, Pakatan Harapan masih bersaing dan kita lihat banyak keputusan yang kita dapat berada di tempat kedua berbanding parti atau gabungan lain," katanya.
”Saya percaya Harapan masih mempunyai asas yang kuat dan kita perlu mencari pengembangan atau pencapaian yang lebih besar untuk mendapatkan sokongan yang pernah kita perolehi sebelum ini," katanya.
Beliau berkata, analisis lebih mendalam akan dilakukan bagi mengenal pasti cabaran serta strategi baharu yang perlu dilaksanakan PH selepas PRN Johor Ke-16.
Dalam PRN semalam, PH hanya memenangi lapan kerusi daripada 56 yang dipertandingkan iaitu, DUN Bentayan, DUN Simpang Jeram, DUN Penggaram, DUN Mengkibol, DUN Puteri Wangsa, DUN Stulang, DUN Skudai dan DUN Senai.
