top of page

Sokongan luar jangka beri semangat buat calon DUN Chembong

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • 2 hours ago
  • 2 min read
Danish (kanan sekali) berkempen dari rumah ke rumah di DUN Chembong
Danish (kanan sekali) berkempen dari rumah ke rumah di DUN Chembong

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi N26 DUN Chembong, Danish Nazran Murad menyifatkan sambutan masyarakat sepanjang tempoh kempen sebagai positif, khususnya sokongan memberangsangkan daripada golongan muda.


Danish berkata, walaupun terdapat perbezaan sokongan dalam kalangan pengundi yang menjadi perkara biasa dalam arena politik, maklum balas keseluruhan yang diterima sepanjang turun padang amat menggalakkan.


"Alhamdulillah, bila kita turun ke lapangan, kita lihat maklum balas yang positif secara keseluruhan. Kita tahu ada yang menyokong dan ada yang tidak menyokong kita, itu perkara biasa dalam politik.


"Tetapi apa yang boleh saya katakan, HARAPAN menerima maklum balas yang baik daripada masyarakat setempat," katanya kepada Suara Keadilan.


Beliau yang baru berusia 27 tahun berkata, penerimaan daripada golongan muda khususnya memberi kejutan positif apabila mereka menunjukkan sokongan lebih besar daripada jangkaan terhadap calon PH.


"Pada awalnya kita menjangkakan sokongan yang biasa sahaja, tetapi apa yang diberikan sangat luar biasa. Kita tidak menjangka mereka akan menerima calon muda daripada Harapan dengan begitu baik.


"Ada yang sebelum ini memang menyokong, tetapi dengan kehadiran calon muda, mereka dilihat lebih bersemangat untuk memberikan sokongan," katanya.


Mengulas mengenai pertembungan dengan calon berpengalaman daripada Barisan Nasional (BN), Danish berkata kelebihan sebagai calon baharu ialah membawa perspektif segar khususnya dalam memahami aspirasi golongan muda.


Beliau berkata, sepanjang lebih seminggu turun berkempen, beliau banyak mendengar sendiri permasalahan penduduk di setiap kawasan dan kampung dalam DUN Chembong.


"Di peringkat DUN, pendekatannya berbeza berbanding Parlimen kerana kita perlu berdepan dengan pelbagai lokaliti dan setiap kampung mempunyai masalah yang berbeza.


"Sebagai calon muda, kita memahami apa yang anak muda perlukan. Kita mahu membawa suara mereka serta memperkemaskan tawaran supaya golongan muda dapat bersama-sama membangunkan Chembong," katanya.


Selain memberi fokus kepada pembangunan belia, Danish berkata isu kebajikan semua lapisan masyarakat juga menjadi perhatian beliau, termasuk golongan yang tercicir daripada menerima bantuan.


Katanya, sekiranya diberi mandat, beliau komited untuk terus turun ke lapangan dan mendekati masyarakat bagi mengenal pasti serta menyelesaikan isu yang dihadapi penduduk.


"Ada golongan yang sebenarnya layak menerima bantuan tetapi tercicir. Perkara seperti ini perlu kita selesaikan dengan turun padang, berjumpa setiap lapisan masyarakat dan memahami keperluan mereka.


"Fokus kita ialah pembangunan belia dan pembangunan kebajikan masyarakat setempat," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page