top of page

Sokong Tok Min kekal MB jika 11 calon menang PRN N Sembilan - DAP

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • Jun 13
  • 2 min read

DAP mengulangi komitmennya untuk terus menyokong Datuk Seri Aminuddin Harun (Tok Min) sebagai Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan sekiranya kesemua 11 calon parti itu berjaya mempertahankan kerusi masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos ini.


Setiausaha Agungnya Anthony Loke Siew Fook (gambar) berkata parti itu tidak akan menuntut tambahan kerusi sebaliknya hanya mempertahankan 11 kerusi penyandang yang dimiliki ketika ini.


"DAP tak tamak. Kita hanya pertahankan 11 kerusi penyandang kita di Negeri Sembilan.


"Kita tidak minta tambahan kerusi. DAP kekal bertanding dan mempertahankan 11 kerusi yang ada dan kita isytiharkan kita akan berusaha kekalkan 11 kerusi ini.


"11 ADUN daripada DAP akan menyokong Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar untuk pastikan kemenangan dan kita memberikan sokongan penuh kepada Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan dan Tok Min," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera PH Negeri Sembilan yang turut dihadiri Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.


Majlis Pelancaran Jentera PH Negeri Sembilan di Stadium Karisma Arena, Seremban
Majlis Pelancaran Jentera PH Negeri Sembilan di Stadium Karisma Arena, Seremban

Anthony berkata keputusan DAP itu membuktikan parti berkenaan mengutamakan kestabilan Kerajaan Negeri dan kesepakatan dalam PH berbanding kepentingan politik sempit.


Pada masa sama, beliau menyasarkan PH memperoleh sekurang-kurangnya 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membentuk kerajaan yang lebih kukuh berbanding kedudukan semasa.


"Kita tak nak lagi keadaan yang tidak stabil. Kita tak nak lagi keadaan di mana PH hanya ada 17 kerusi. Sasaran kita 20 kerusi Pakatan Harapan ke atas.


"Pada 1 Ogos akan datang, kita nak supaya Datuk Seri Aminuddin Harun kembali menerajui Negeri Sembilan sebagai Menteri Besar," katanya.


Anthony turut mempertahankan rekod pentadbiran Aminuddin yang disifatkannya bersih dan pro-rakyat sepanjang menerajui negeri itu sejak lapan tahun lalu.


"Tok Min dah jadi Menteri Besar lapan tahun. Ada pernah dengar dia ambil tanah? Ada pernah dengar akaun bank dia ada berpuluh juta? Ada pernah dengar dia salah guna kuasa?


"Kalau dia rasuah, kalau dia salah guna kuasa, kita juga akan jatuhkan dia. Tapi Tok Min adalah seorang Menteri Besar yang pro-rakyat dan menjaga kebajikan rakyat Negeri Sembilan," katanya.


Mengenai keputusan kerajaan negeri membubarkan DUN lebih awal, Anthony berkata langkah itu dibuat bagi mengembalikan mandat kepada rakyat selepas berlaku percubaan mengambil alih pentadbiran negeri melalui “pintu belakang”.


Menurutnya, tindakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional menarik sokongan terhadap kerajaan negeri sebelum ini menunjukkan wujud usaha untuk menukar kerajaan tanpa melalui proses pilihanraya.


"Orang Negeri Sembilan tolak kerajaan pintu belakang. Untuk kembalikan mandat kepada rakyat, biar rakyat menentukan segala-galanya pada 1 Ogos akan datang," katanya.


Beliau turut menyeru seluruh jentera PH memperkukuhkan perpaduan antara KEADILAN, DAP dan AMANAH bagi memastikan kemenangan pada PRN kali ini.


"Kekuatan kita bukan satu parti. Kekuatan kita adalah secara bersama. Keadilan, DAP dan AMANAH mesti bersama-sama menyokong perjuangan ini.


"Kalau kita bersatu-padu, saya yakin tidak ada mana-mana pihak yang boleh mengalahkan kita," katanya.

1 Comment


Ken Ken
Ken Ken
Jun 13

👍👍

Like

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page